Isu Panas

Perbuatan hina Islam di Facebook tak boleh dibiar terus berlaku – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan perbuatan memuatkan sebarang artikel atau kenyataan sensitif dan menghina agama Islam di laman web atau laman sosial seperti Facebook tidak boleh dibenarkan terus berlaku.

Katanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu bertindak tegas terhadap mereka yang melakukannya.

Beliau menyatakan hal ini kepada wartawan selepas satu majlis di Pekan Sabtu ketika diminta mengulas insiden berkenaan yang dikesan berlaku kebelakangan ini.

Jumaat Gerakan Pemuda Prihatin Putrajaya (Gempur) telah membuat laporan polis berhubung satu akaun laman sosial, Facebook yang dikesan menghina Islam dan Allah dengan kata-kata kesat.

Sebelum itu Isnin Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Selangor (GPMS) membuat laporan polis berhubung kewujudan satu laman sosial ‘Facebook’ yang menggunakan nama ‘Melayu Babi’.

Perdana Menteri berkata semua pihak perlu menghormati undang-undang negara ini dan tidak membuat sebarang kenyataan yang dlihat akan mengguris pihak lain, terutama sekali apabila menyentuh soal agama.

“Apa saja yang kita muatkan dalam laman web dan Facebook dan sebagainya akan menyentuh perasaan pihak lain. Kita ada undang-undang kita, pihak berkuasa seperti MCMC perlu ambil tindakan sewajarnya.

“MCMC kena bertindak, saya berharap mereka bertindak tegas dalam perkara ini. ini sesuatu yang tidak boleh kita benarkan ,” kata Najib.

Perdana Menteri berkata semua pihak di negara ini perlu sedar bahawa sebarang pengisian di laman web yang keterlaluan akan menyentuh perasaan pihak yang terlibat.

“Mereka patut sedar bahawa laman web ini bukanlah satu kebebasan mutlak yang membolehkan kita melakukan apa saja termasuk menghina agama lain atau peribadi orang lain.

“Kita mesti menggunakan alternatif media ini dengan rasa penuh tanggungjawab,” katanya.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan tidak ada sesiapapun sama ada orang Islam atau penganut agama lain boleh mempermainkan agama mana-mana kaum.

Katanya agama Islam kalau dimainkan, pasti akan menimbulkan kemarahan sebahagian besar rakyat Malaysia penganut Islam yang besar.

“Kalau agama lain pun, seperti Sikh, Hindu atau Buddha pun pasti tidak mahu orang Islam buat satu lagi FB atau apa sahaja yang menyentuh sensitiviti agama lain.”

“Bagi kita ini amat bahaya dan saya yakin pihak berkuasa yang menerima laporan akan bertindak tegas dan keras kerana kita hendak elak hal-hal sebegini daripada menjadi masalah besar kepada negara,” katanya.

Katanya, kerajaan memandang berat perkara yang menyentuh sensitiviti agama kerana ia boleh mencetuskan kemarahan selain menimbulkan pelbagai masalah khususnya soal keselamatan dan hubungan baik antara kaum di negara ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan, tidak ada pihak yang akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapati bersalah menghina mana-mana agama yang diamalkan rakyat di negara ini.

Menurut Muhyiddin, walaupun “serangan” itu dibuat melalui laman sosial Facebook, tetapi beliau yakin ada cara yang boleh digunakan untuk membuktikan kesahihan dan identiti pelaku yang tidak bertanggungjawab itu.

Katanya, hal sedemikian tidak sepatutnya timbul kerana rakyat sudah lama hidup aman dan tenteram, saling hormat menghormati sesama agama.

“ Kenapa satu agama lain harus mencemarkan satu agama lain,” katanya.- 4/9/2010


GPMS Selangor buat laporan polis kewujudan Facebook ‘Melayu Babi’

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Selangor (GPMS) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di Kuala Lumpur berhubung kewujudan satu laman sosial ‘Facebook’ yang menggunakan nama ‘Melayu Babi’.

Pengerusinya Mohd Faizal Mohd Salleh berkata beliau dimaklumkan tentang laman itu oleh rakannya pada Sabtu lepas dan kemudian melihat sendiri kandungan itu.

“Laman itu menggunakan gambar babi. Ternyata mempersendakan Islam dan sensitiviti orang Melayu yang boleh membawa perpecahan kaum di negara ini serta berbaur hasutan,” katanya kepada pemberita di luar ibu pejabat polis itu Rabu.

Bernama melaporkan sehubungan itu, beliau meminta polis dan kerajaan segera menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap pelakunya termasuk menimbangkan pelucutan hak kewarganegaraan.

Sementara itu, Sekretariat Penerangan Pergerakan Pemuda Barisan Nasional membuat laporan polis di IPD sama untuk meminta polis menyiasat klip video berbaur perkauman yang dihasilkan Wee Meng Chee atau Namewee.

Ketuanya Safarizul Mustafa berkata polis perlu mengambil tindakan sewajarnya walaupun Namewee menyatakan dia menyokong gagasan 1Malaysia.

“Kalau betul dia menyokong gagasan 1Malaysia, dia tidak akan membuat klip video seperti itu kerana ia tidak menghormati perasaan orang lain, Melayu khususnya,” katanya.

Namewee, dari Muar, Johor seperti yang disiarkan dalam laman web YouTube, membuat klip video berbaur perkauman dengan merujuk kepada kes seorang guru yang dikatakan membuat kenyataan berbaur perkauman, antara lain mencerca guru berkenaan serta menyebut Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai kurang ajar pada 12 Ogos lepas.

Selain itu, Namewee dalam klip video di laman web Youtube, berulang kali menunjuk isyarat lucah serta baris perkataan tidak senonoh.Namewee pernah mencetuskan kemarahan rakyat dengan menghina lagu kebangsaan dan mempersendakan kerajaan menerusi sebuah klip video pada 2007.- 1/9/2010

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");