shadow

Seramai 115 pesalah juvana telah menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di bawah Jabatan Kebajikan Negeri sejak dua tahun lalu.

Exco kerajaan negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata daripada jumlah itu 99 merupakan pesalah juvana Melayu, 10 India, empat Cina dan selebihnya lain-lain kaum.

Katanya kerajaan negeri mahu perintah khidmat masyarakat ini diperluaskan kepada kawasan pihak berkuasa tempatan.

“Perluasan program PKM ke PBT akan membantu dan memanfaatkan peluang ini dalam usaha meningkatkan pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan PBT masing-masing.

“Kehadiran pelatih-pelatih secara tidak langsung dapat membantu membersihkan kawasan, urusan landskap dan sebagainya. Selain menjalankan hukuman, mereka juga menyumbangkan bakti dan tenaga serta pelatih-pelatih juga akan lebih menghargai peranan pekerja-pekerja di PBT,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perintah Khidmat Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat Zaimi Abdul Rali berkata perintah khidmat masyarakat akan dilaksanakan kepada pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) bermula tahun hadapan.

Katanya terdapat lebih 6733 pelatih ingkar dicatatkan sehingga tahun 2007.

Menurutnya, jumlah itu dijangka meningkat dan pelatih bakal dikenakan hukuman berdasarkan undang-undang.

Pelatin PLKN Ingkar Berdepan Hukuman Khidmat Masyarakat Tahun Depan

IPOH, 14 Okt (Bernama) — Pelatih yang ingkar menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bakal dikenakan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) yang akan dilaksanakan tahun depan, kata Pengarah Bahagian Perintah Khidmat Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia, Zaimi Abdul Rali.

Beliau berkata hukuman berkenaan akan dijalankan selepas mendapat perintah mahkamah.

“Lebih 6,733 pelatih ingkar dicatatkan sehingga tahun 2007 dan jumlah ini dijangka meningkat pada tahun-tahun akan datang.

“Bagaimanapun, hukuman dikenakan selepas ada perintah mahkamah. Antara kesalahan adalah pelatih tidak hadir ke PLKN atau hilangkan diri dari kem latihan,” katanya kepada pemberita selepas taklimat Perluasan Tempat Pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat ke Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sini Khamis.

Zaimi berkata pesalah akan melakukan kerja khidmat masyarakat tidak lebih 240 jam dengan menjalankan pelbagai kerja biasa yang dijalankan oleh petugas PBT.

Beliau berkata PKM adalah hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah ke atas pesalah muda dalam lingkungan umur 18 hingga 21 tahun yang pertama kali melakukan kesalahan ringan daripada sudut undang-undang.

Mengikut statistik Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) seramai 716 peserta dari Perak gagal menghadiri program dan jumlah itu menjadikan negeri itu keempat teramai dari seluruh negara, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri Datuk Dr Mah Hang Song berkata perluasan program PKM ke PBT akan membantu dan memanfaatkan PBT meningkatkan pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan.

“Kehadiran pelatih-pelatih (yang dihukum) secara tidak langsung dapat membantu membersihkan kawasan, urusan landskap dan sebagainya. Selain menjalankan hukuman, mereka juga menyumbangkan bakti dan tenaga serta pelatih-pelatih juga akan lebih menghargai peranan pekerja-pekerja di PBT,” katanya.

— BERNAMA

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *