Perak Hari Ini

Pilih pemain 15, 16 Disember

Persatuan Bola sepak Perak (Pafa) akan menganjurkan sesi pemilihan pemain bagi mewakili skuad Piala Presiden Musim 2011 pada 15 dan 16 Disember ini, di padang padang Kelab Rekreasi Cina Perak (PCRC) mulai jam 8.30 pagi.

Setiausaha Kehormatnya, Abdul Aziz Yeop Jamaludin berkata, sesi pemilihan berkenaan akan dikendalikan jurulatih yang juga bekas pemain negeri, Abu Bakar Fadzim dan Syamsul Saad.

Menurutnya, satu panel pemilihan juga telah dilantik bagi sesi pemilihan berkenaan.

“Ahli Gabungan Pafa setiap daerah diminta menghantar lima pemain bagi tujuan pemilihan berdasarkan kepada surat pekeliling yang telah dihantar. Kriteria pemilihan adalah pemain mestilah berusia di bawah 21 tahun atau lahir pada 1990.

“Pada sesi pemilihan berkenaan, semua pemain diharap dapat membawa segala kelengkapan peralatan serta pakaian yang sesuai bagi sesi pemilihan berkenaan.

“Pemain yang terpilih akan mula menjalani latihan pusat pada 17 Disember kelak selain diberi tempat penginapan di satu lokasi yang akan dimaklumkan kemudian.

“Senarai muktamad bagi 25 pemain Piala Presiden Perak bagi musim 2011 akan di umumkan sekitar akhir Disember, 2010,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, biarpun beberapa kejohanan bagi pemain bawah 20 tahun telah dianjurkan bagi tujuan memilih pemain sebelum ini, namun kebanyakan pemain yang mewakili daerah masing-masing didapati melibatkan golongan remaja berusia sekitar 17 hingga 18 tahun.

Katanya, berdasarkan peringkat usia sedemikian Pafa telah merangka mengharungi saingan sebenar dalam Piala Presiden kelak.

“Saingan Piala Presiden akan bermula sekitar Februari 2011 dan tarikh akhir untuk pendaftaran pemain ke Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) adalah pada 1 Januari 2011.

“Oleh itu, kami berharap agar dapat menyediakan satu pasukan yang mantap musim ini dan seterusnya menghasilkan kejayaan pada saingan Piala Presiden kelak,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");