Perak Hari Ini

PAFA dapat tajaan bas

Selaras hasrat memajukan sukan bola sepak negeri, sebuah syarikat pengangkutan berpangkalan di Lumut, Arwana Ekspress Travel and Tours Sdn Bhd, hari ini tampil menyumbangkan sebuah bas untuk kemudahan pasukan Perak bagi tempoh setahun dengan nilai tajaan mencecah RM700,000.

Bas yang dilengkapi 44  tempat duduk itu akan digunakan untuk membawa pemain ke semua destinasi perlawanan atau program yang diatur oleh Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) bagi musim Liga Super 2011.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan bas PAFA di perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, pagi ini, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata kerajaaan negeri amat menghargai pembabitan sektor swasta dan penaja dalam usaha  mengangkat martabat sukan bola sepak tempatan ke tahap yang lebih tinggi.

Katanya, tajaan bas itu diharap mampu menyuntik semangat pemain Perak untuk beraksi cemerlang pada musim Liga Super 2011.

“Kita sememangnya mengalu-alukan penyertaan pihak swasta dan penaja untuk memajukan bola sepak di Perak dan hari ini Pafa menerima tajaan sebuah bas selama setahun untuk kemudahan membawa pemain Perak ke semua destinasi perlawanan

“Sehubungan itu, semua pemain diharap dapat  mempamerkan aksi terbaik pada musim ini selain bersemangat dan memiliki disiplin tinggi bagi mencapai sasaran lima pasukan teratas yang ditetapkan oleh PAFA.

“Tiada jalan mudah untuk menjadi pemain terbaik kecuali dengan semangat dan disiplin yang tinggi,” katanya yang turut menasihatkan pemain Perak agar mencontohi pasukan Harimau Malaya yang menjuarai Piala AFF Suzuki selepas menewaskan Indonesia baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, berkata pada musim sebelum ini, persatuan terpaksa menggunakan bas rasmi kerajaan negeri untuk ke destinasi perlawanan kerana tidak memiliki bas sendiri.

Katanya, tajaan bas itu juga dapat menjimatkan sebahagian besar kos perbelanjaan PAFA dalam tempoh setahun kerana persatuan itu hanya perlu membayar gaji dua pemandu bas dan kos minyak.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Arwana Ekspress, Mohd Ithnin Mohd Yusop, berkata syarikat yang beroperasi sejak 2006 itu berminat menaja kemudahan itu kerana minat yang mendalam terhadap bola sepak tempatan.

Pengarah Arwana Ekspress, Mohd Ithnin Mohd Yusop

“Syarikat Arwana terpanggil untuk membantu PAFA mengangkat martabat sukan bola sepak tempatan dengan menaja sebuah bas dengan nilai tajaan keseluruhan RM700,000, iaitu RM500,000 untuk bas sahaja manakala bakinya iaitu RM200,000 untuk kos servis dan penyelenggaraan.

“Saya juga menaruh harapan tinggi agar pasukan Perak dapat tersenarai dalam kelompok lima pasukan teratas dalam Liga Super 2011,” katanya.

Katanya, syarikat itu mempunyai 16 buah bas, iaitu 11 bas ekspress manakala bakinya untuk sewa khas dan menawarkan perkhidmatan ke beberapa destinasi arah utara seperti Butterworth, Kangar dan Alor Setar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");