Berita Hari Ini

Hubungan Baik Perdana Menteri Dengan Pemimpin Luar Mudahkan Proses Pemindahan Pelajar

Hubungan baik yang terjalin di antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pemimpin negara luar membantu melancarkan proses pemindahan pelajar Malaysia di Mesir ke Jeddah di Arab Saudi.

Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata berdasarkan faktor tersebut, pesawat Malaysia diberi laluan udara dan hak pendaratan dengan mudah oleh negara lain.

“Di kesempatan ini saya nak ucapkan syabas dan tahniah kepada Perdana Menteri kerana semangat setiakawan beliau akhirnya semua negara-negara yang sukar memberikan laluan udara mereka akhirnya memberikan laluan udara mereka kepada pesawat negara kita atas hubungan baik yang terjalin.

“Pelajar-pelajar kita juga dapat pergi ke Jeddah dan dapat visa dengan mudah apabila mereka tiba di Arab Saudi…inilah kelebihan yang ada pada Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Abdul Azeez berkata proses pemindahan pelajar itu tidak mudah kerana terdapat proses melibatkan ruang udara dan hak pendaratan di negara asing yang perlu dilepasi.

“Sehinggakan saya yang menguruskan mereka di sini dah jadi mahir sedikit… walaupun tidak mempunyai kelulusan ‘aviation’ (penerbangan) akhirnya saya dah jadi agak mahir macam mana nak dapat kebenaran mendaratkan pesawat, lalu ruang udara pun kena dapat kelulusan dan ini semua tidak boleh dilakukan dalam masa yang singkat,” katanya

Sementara itu beliau berkata anggota Kelab Putera 1Malaysia tidak akan keluar dari Mesir sehingga semua pelajar Malaysia berjaya dipindahkan ke Jeddah dalam keadaan selamat.

Abdul Azeez berkata pihaknya akan memberikan sepenuh komitmen dengan bertugas selama 24 jam bagi memastikan perkara tersebut dapat dilaksanakan.

“Alhamdulillah sehingga kini kita telah selamatkan kira-kira 1,150 pelajar dan kanak-kanak …dan di sini bersama saya masih ada lebih kurang 750 orang pelajar lagi dan di antaranya terdapat 32 orang anak yatim.

“Walau apa pun berlaku kita akan memastikan sasaran kita semua pelajar dibawa pulang dalam keadaan selamat akan dapat diselesaikan sehingga hujung minggu ini,” katanya. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");