Isu Panas

Berwaspada Taktik Propaganda Pembangkang – UMNO Pulau Pinang

Umno Pulau Pinang pada Jumaat menasihatkan rakyat di negeri itu agar berwaspada dan tidak terpengaruh propaganda kerajaan pimpinan DAP bertujuan untuk memburukkan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata tidak perlu menggunakan duit rakyat untuk menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) atau risalah.

“Selepas tiga tahun mentadbir kerajaan negeri Pulau Pinang, rakyat akan tahu apa kerajaan negeri lakukan dan tidak guna membazir duit rakyat untuk menghantar SMS atau risalah,” katanya kepada Bernama apabila dihubungi di sini pada Jumaat.

Beliau mengulas mengenai tujuan kerajaan negeri itu menghantar 200,000 SMS kepada rakyat Pulau Pinang dalam tempoh setahun untuk memaklumkan tentang program-program yang akan dianjurkan, aktiviti dan isu semasa.

Beliau berkata kerajaan negeri itu telah menggunakan wang rakyat untuk meraih sokongan terhadap parti itu dan cuba memburukkan BN.

“Apa yang mereka boleh lakukan dengan SMS ini? Tujuan penghantaran SMS itu adalah untuk mengelirukan rakyat dan saya berharap rakyat di negeri ini tidak akan terpengaruh dengan propaganda pembangkang,” katanya.

Katanya daripada membazirkan wang itu untuk menghantar SMS, Ketua Menteri Lim Guan Eng sepatutnya menggunakan peruntukan itu untuk membantu rakyat yang memerlukan di negeri itu.

Bagaimanapun, Naib Presiden Gerakan Pulau Pinang Won Mun Hoe berkata bergantung kepada kerajaan negeri sama ada menggunakan sistem SMS itu untuk mempromosikan kerajaan atau agenda parti politiknya.

“Saya berpendapat tidak salah sekiranya kerajaan negeri menggunakan sistem itu untuk memaklumkan kepada rakyat tentang perkembangan terbaru mengenai negeri ini dan aktivitinya, tetapi adalah tidak bertanggungjawab dan salah menggunakan sistem SMS ini untuk menyalurkan berita politik,” katanya dan menambah seharusnya ada garis pemisah antara agenda kerajaan dan politik.

Beliau juga berharap kerajaan Pulau Pinang menggunakan perkhidmatan itu untuk menyalurkan maklumat yang benar dan bukan maklumat yang selektif untuk rakyatnya.

Lim dalam laporan pada Jumaat berkata inisiatif menyalurkan maklumat menerusi SMS itu membabitkan kos RM14,000 bertujuan untuk memaklumkan kepada rakyat mengenai aktiviti kerajaan negeri serta pendiriannya tentang isu-isu semasa.

Katanya kerajaan negeri memilih menghantar SMS dan risalah untuk memastikan semua rakyat di negeri itu menerima maklumat itu memandangkan tidak semua media aliran umum menyiarkan berita mereka.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");