Berita Hari Ini

Guru Perlu Melengkapkan Kemahiran Mengikut Arus Pembangunan – Muhyiddin

Golongan pendidik di negara ini perlu peka bahawa kemahiran mendidik sentiasa berubah dan berusaha meningkatkan serta menyesuaikan diri dengan perubahan semasa dan persekitaran, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata jika usaha tidak dibuat untuk bergerak seiring dengan perkembangan ilmu, tenaga pendidik akan ketinggalan dalam banyak hal terutamanya dalam aspek pembangunan manusia dan melahirkan generasi berwibawa.

Berucap pada istiadat Konvokesyen Berpusat Ijazah Sarjana Muda Perguruan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari Rabu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran meminta golongan pendidik menguasai ilmu dengan mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat bagi melahirkan generasi berilmu, membudayakan inovasi dan kreativiti di kalangan pelajar.

“Jika dahulu, guru mengajar tulis baca, mengatasi masalah buta huruf sebagai tugas hakiki, kini cabaran yang digalas oleh guru jauh lebih berat.

“Realitinya, masyarakat kini memerlukan guru berkualiti tinggi daripada sudut keilmuan dan sahsiah, berintegriti, beriltizam dan mempunyai kesedaran untuk membentuk insan yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek,” kata beliau.

Muhyiddin mengingatkan guru bertauliah itu tidak merasakan bahawa ilmu yang dipelajarinya mencukupi, sebaliknya memahami konsep Pengetahuan Kandungan Pedagogi serta melaksanakan tugasnya dengan penuh bertanggungjawab.

“Bidang pendidikan memberikan sumbangan besar dan penting dalam menentukan kejayaan sesebuah negara. Hakikat ini lebih relevan lagi dalam era siber di mana kemajuan dan kejayaan anak bangsa bergantung kepada penguasaan ilmu dan teknologi.

“Oleh itu peranan dan tanggungjawab guru dan pendidik hari ini semakin penting dan kritikal berbanding pada masa dahulu. Jadilah seorang guru yang mampu berfikir secara kritis, menulis secara persuasif, berfikir dan memberi pendapat secara logik serta mengatasi masalah rencam yang dihadapi oleh murid-murid pada masa ini,” katanya.

Hakikatnya tenaga pendidik perlu sedar peranannya dalam mengasuh pemimpin dan tenaga kerja masa depan ke arah memacu pembangunan Malaysia, kata Muhyiddin.

Seramai 1,987 penuntut Institut Pendidikan Guru seluruh negara menerima Ijazah Sarjana Muda Perguruan pada konvensyen pertama itu.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");