Perak Hari Ini

Pejabat SPRM Perak Dilengkapi Bilik Rakaman Temuramah Bervideo

Kompleks pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak yang bernilai RM23.4 juta merupakan pejabat SPRM pertama dalam negara yang dilengkapi dengan bilik rakaman temuramah bervideo (VIR) khusus bagi merekod percakapan tertuduh dan pihak yang disiasat.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM Datuk Zakaria Jaffar berkata ia merupakan satu konsep yang diambil dari pihak berkuasa di Hong Kong dan diberi penambahbaikan.

“Bilik ini menampilkan satu ciri moden dan sistematik untuk merakam video percakapan dan segalanya. Kelengkapan canggih ini adalah selaras dengan aspirasi dan amalan SPRM yang mementingkan ketelusan dalam menjalankan tugas,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan projek kompleks pejabat SPRM Perak oleh Jabatan Kerja Raya di Meru Raya di sini Jumaat.

Beliau berkata bilik VIR itu dilengkap dengan dua kamera dan kelengkapan rakaman yang akan merekodkan secara terus segala percakapan serta perlakuan tertuduh, pihak disiasat, dan juga pegawai penyiasat.

Katanya rakaman itu akan dimuatkan ke dalam tiga video cakera padat berasingan untuk diberikan kepada tertuduh, pengawai penyiasat dan pihak pendakwaan untuk disimpan bagi tujuan siasatan lanjut.

Beliau berkata kerajaan meluluskan peruntukan RM23.4 juta bagi membina bangunan pejabat SPRM Perak di bawa fasa pertama pembangunan Kompleks Pejabat dan Perumahan SPRM.

“Bangunan yang tersergam indah ini tidak akan memberi sebarang makna sekiranya masyarakat tidak memberi sokongan atau bersama-sama SPRM membanteras gejala rasuah,” katanya.

Sementara itu Pengarah SPRM Perak Nooraziah Abdul Manaf berkata dengan adanya rakaman berkenaan, pihak yang tidak bertanggungjawab tidak boleh lagi sewenang-wenangnya membuat pelbagai tuduhan dan dakwaan seperti tidak diberi makan dan dipukul ketika soal siasat.

“Kami tidak mahu selepas percakapan diberi, pihak tidak bertanggungjawab ini mengada-adakan ‘cerita’. Oleh yang demikian rakaman ini boleh digunakan bagi menidakkan dakwaan seperti itu,” katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");