Perak Hari Ini

Kelip-kelip Kampung Dew berpotensi jadi eko-pelancongan bertaraf dunia

BUMI Perak sememangnya bertuah kerana dianugerahkan dengan pelbagai keunikan alam semulajadi yang berpotensi dibangunkan sebagai produk eko-pelancongan dan salah satu daripadanya ialah kelip-kelip Kampung Dew, dekat Taiping.

Pengalaman penulis menyusuri Sungai Sepetang hampir dua jam bersama rombongan media untuk menyaksikan sendiri keindahan kelip-kelip yang mengeluarkan cahaya hampir serentak mungkin sukar digambarkan dengan kata-kata.

Produk eko-pelancongan ini hanya terletak dua kilometer (km) dari susur keluar tol Taiping Utara, iaitu kira-kira 45 minit hingga satu jam tempoh perjalanan dari Ipoh.

Selepas 15 minit perjalanan dengan menaiki bot dari jeti Kampung Dew, kelibat cahaya yang dihasilkan oleh si kelip-kelip ini mula kelihatan menerangi pokok berembang yang dikenali dengan nama saintifiknya Sonneratia Caseolaris.

Pokok berembang yang banyak terdapat di kiri dan kanan tebing sungai itu sudah sekian lama menjadi habitat buat kelip-kelip di sini yang tergolong dari spesis Pteroptyx Tener.

Pengelipan ini bertujuan untuk menarik pasangan untuk mengawan dan selalunya kelip-kelip betina hinggap pada hujung daun pokok dan mengelip dengan merendahkan abdomen berhampiran daun bagi menarik perhatian kelip-kelip jantan.

Kelip-kelip kebiasaannya ditemui pada waktu senja iaitu pada lalang ataupun daun pokok manakala pengelipan berlaku kira-kira satu jam selepas matahari terbenam.

Kadar kelipan pula adalah tiga kali sesaat dan pada permulaan, ia akan mengambil masa 15-20 minit untuk ‘memanaskan badan’ sebelum mengelip.

Bagi tempoh dua hingga tiga jam pertama, pengelipan adalah terang dan berterusan tetapi kadar pengelipan akan menjadi rendah dan berhenti selepas matahari terbit.

Uniknya, kelip-kelip baru atau pada pokok bersebelahan akan meniru antara satu sama lain untuk mendapatkan kadar pengelipan cahaya sama dan akhirnya membentuk satu rentak dan kadar pengelipan yang seakan-akan hampir serentak dan menarik.

Jantina kelip-kelip mudah dibezakan melalui organ pengcahayaan yang terletak di bahagian abdomen dan boleh hidup tanpa makan sehingga lebih kurang 30 hari dan kelip-kelip akan mati selepas mengawan.

Menyedari potensi kelip-kelip sebagai daya tarikan pelancong, Kelab Cahaya Alam Perak (KECAP) ditubuhkan di Kampung Dew bagi memberi peluang kepada pencinta alam untuk menghayati dan menghargai anugerah Tuhan ini di habitat semulajadinya.

Kerajaan negeri Perak turut memberi sokongan padu kepada usaha kelab itu untuk menjadikan pakej eko-pelancongan bertaraf dunia 2015 dengan meluluskan peruntukan RM50,000 bagi menaiktaraf kemudahan pelancongan di kampung itu termasuk membina laluan berbumbung menuju ke jeti.

Exco Pelancongan negeri, Datuk Hamidah Osman yang turut menyertai rombongan media berkata, penduduk juga perlu bersedia untuk menerima kehadiran pelancong dengan menjaga kebersihan kampung dan memastikan habitat semulajadi kelip-kelip tidak dimusnahkan.

“Masyarakat Kampung Dew cukup bertuah kerana dianugerahkan tarikan eko-pelancongan kelip-kelip yang boleh dimanfaatkan sebagai sumber pendapatan sampingan.

“Selain bekerja sebagai nelayan dan terbabit dalam industri pembuatan kayu arang, penduduk boleh mencari pendapatan lebih dengan menjadi jurupandu pelancong atau menyewakan bot mereka untuk membawa pelancong melihat kelip-kelip yang hinggap di atas pokok berembang,” katanya selepas melawat eko-pelancongan kelip-kelip Kampung Dew, malam tadi.

Tegasnya, promosi secara besar-besaran antara aspek penting yang perlu difikirkan untuk memajukan eko-pelancongan kelip-kelip Kampung Dew termasuklah dengan menerbitkan brosur yang lebih bermaklumat serta meletakkan papan tanda besar di tempat strategik bagi memudahkan pelancong berkunjung ke sini.

Selain itu, masyarakat tempatan juga katanya, perlu bersedia menerima kehadiran pelancong dengan menjaga kebersihan persekitaran kampung serta memastikan habitat semulajadi kelip-kelip terus kekal terpelihara bagi mengelak ia diancam kepupusan.

“Saya begitu terpegun melihat keunikan kelip-kelip ini yang mengeluarkan cahaya secara serentak dan ia adalah satu anugerah yang perlu dihargai, dipelihara dan dimanfaatkan sebaik-baiknya.

“Selain menjaga kebersihan Sungai Sepetang ini, kawasan daratan yang terletak 30 hingga 90 meter dari tepi sungai tidak boleh diusik dengan pembangunan kerana dibimbangi kelip-kelip yang hidup di sekitar pokok berembang akan pupus,” tambahnya lagi.

Selain menyaksikan kelip-kelip di habitat semulajadinya, pelancong juga boleh mengikuti aktiviti lain seperti memancing udang galah, melawat industri pembuatan kayu dan Pulau Kalumpung serta mendaki Gunung Semanggol.

Sesiapa yang berminat untuk menyertai pakej eko-pelancongan kelip-kelip Kampung Dew boleh menghubungi Khairul Salleh Ahmad (0125145023) atau melayari http://fireflyzone.blogspot.com untuk keterangan lanjut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");