Perak Hari Ini

Dubliners Cafe, pilihan terbaru penggemar makanan Barat di Ipoh

Dubliners Cafe yang beroperasi di Persiaran Greentown 8, Greentown Business Centre, antara kafe terbaru di bandaraya Ipoh yang semakin mendapat tempat di hati penggemar makanan Barat kerana menyajikan pelbagai makanan yang enak dengan harga berpatutan dan yang lebih penting dijamin halal.

Berpengalaman lebih 10 tahun bekerja di beberapa hotel terkemuka di Eropah, sentuhan atau air tangan Niaz Muhamed Khan, selaku chef utama pastinya tidak menghampakan kerana hidangan Barat seperti Dubliners Chicken Chop with French Fries and Salad, Lamb Shank dan Grilled Tenderloin Steak with Potato and Vegetable sering menjadi menu pilihan pengunjung sejak kafe ini beroperasi 8 Mac lalu.

Dubliners Cafe turut menyediakan pilihan lain buat pelanggan antaranya hidangan makanan Thai, Chicken Clay Pot, sandwich dan pastri manakala set makan tengahari pula boleh dinikmati dengan harga serendah RM15 untuk hidangan Barat dan Thai (RM12).

Set makan tengah hari Barat terdiri vegetable volauvent sebagai pembuka selera, diikuti home made cajun chicken burger with fries atau chicken mushroom tagliliatelle pasta sebagai hidangan utama, chocolate moist cake sebagai pemanis mulut dan pilihan teh O ais lemon atau jus oren untuk minuman.

Manakala set hidangan Thai pula, pelanggan bakal disajikan sup bebola daging, nasi goreng ayam berempah atau mee goreng istimewa, chocolate moist cake sebagai pemanis mulut dan pilihan air samada teh O ais lemon dan jus oren untuk penghilang dahaga.

Kafe yang berlatarkan hiasan dalaman moden kontemporari ini dibuka dari jam 11 pagi hingga 10.30 malam setiap hari kecuali Ahad dan ia ditutup sementara dari jam 3 hingga 5 petang untuk masa rehat.

Susun atur hidangan juga tampak menarik dengan gabungan yang berwarna-warni yang pastinya membangkitkan selera sesiapa jua yang memandang.

Bercakap kepada Perak Today.com, Niaz Khan, berkata beliau menimba pengalaman bekerja di beberapa hotel terkemuka di Ireland sebagai chef untuk hidangan Barat, Itali dan Perancis sebelum pulang ke tanah air tahun lalu.

Dengan modal RM70,000, beliau bersama isterinya, Sobia Mohamed Yussoff, menyahut cabaran membuka kafe itu yang mampu memuatkan antara 30 hingga 40 pengunjung pada satu-satu masa.

“Hasrat saya untuk memiliki perniagaan sendiri akhirnya tercapai apabila Dubliners Cafe dibuka secara rasmi Mac lalu kerana sejak keci lagi, saya memang berminat dalam dunia masakan kerana sering membantu keluarga menguruskan kedai makan di Pusing.

“Selepas menamatkan kursus dalam bidang masakan di Kolej Syuen pada 2001, saya merantau ke Ireland untuk menimba pengalaman bekerja di sana antaranya sebagai eksekutif chef di Hotel Clifden selama lima tahun,” katanya.

Ditanya perancangan masa depannya, Niaz menegaskan kemudahan internet dan bilik mesyuarat perlu disediakan bagi memenuhi kehendak pelanggan selain berharap membuka cawangan lain di sekitar bandaraya Ipoh.

Selain itu, Dubliners Cafe katanya, turut menerima tempahan untuk katering dan buffet mengikut menu yang dikehendaki pelanggan.

Bagi sebarang pertanyaan dan tempahan, pelanggan boleh menghubungi terus Niaz Khan di talian 016-6283470 atau Sobia (017-8715019) untuk maklumat lanjut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");