Perak Hari Ini

Laungan reformasi pembangkang semakin tidak relevan

Laungan reformasi pembangkang dilihat semakin tidak relevan apabila ramai penyokong di negeri ini mengambil keputusan keluar parti kerana kecewa dengan kemelut dalaman yang turut diselubungi masalah peribadi yang seolah-olah tiada jalan penghujungnya.

Bekas Bendahari PKR negeri, Jamaluddin Mohd Radzi, berkata kemelut dalaman parti yang berlaku baik di peringkat Pusat dan negeri jelas membuktikan tindakan segelintir pemimpin yang hanya mementingkan kepentingan peribadi semata-mata dan bukannya berlandaskan perjuangan sebenar untuk membela nasib rakyat.

Beliau yang juga Adun Behrang berkata, laungan reformasi yang dilaungkan pembangkang tidak lagi relevan dengan situasi hari ini dan lebih layak disebut sebagai reforbasi.

Katanya, semakin ramai pengundi di kawasan yang diwakilinya dapat menerima keputusannya meninggalkan parti itu dan berkhidmat sebagai wakil rakyat Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).

Bercakap kepada pemberita di Kuala Kangsar sebentar tadi, Jamaluddin turut mengakui sokongan rakyat terutamanya pengundi India dan Melayu di Perak semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Gerakan positif itu katanya, seharusnya dimanfaatkan pemimpin BN untuk terus mendekati dan menyelesaikan masalah rakyat.

Malah beliau sendiri turut bersetuju dengan pendekatan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang mengingatkan pemimpin BN negeri supaya menghormati rakyat dahulu jika mereka mahu mendapat penghormatan yang selayaknya daripada rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Jamaluddin mendedahkan, perpecahan dalam PKR tidak dapat dielakkan apatah lagi dalam membabitkan soal pengagihan kerusi dan calon yang bertanding dalam setiap pilihan raya.

Sekutu PKR, PAS pula katanya, pula terus menanamkan perasaan benci terhadap UMNO dan BN manakala perjuangan DAP pula lebih ke arah perjuangan yang berdasarkan unsur perkauman.

Beliau yang hadir sebagai tanda sokongan kepada 120 ahli jawatankuasa dan jentera PKR Cabang Padang Rengas yang mengisytiharkan keluar parti hari ini, berkata sudah tiba masanya penyokong menilai semula sokongan mereka kepada parti itu yang ditubuhkan sejak 12 tahun lalu.

“Saya menyeru agar ahli PKR Perak supaya menilai semula sokongan yang diberi selama 12 tahun kepada parti….jangan terus lakukan kesilapan dengan memberi sokongan PKR dan Pakatan Rakyat kerana ia hanya perjuangan yang sia-sia,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");