Perak Hari Ini

Sultan Azlan lancar Akademi AHF-MHC

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah hari ini melancarkan Akademi AHF-MHC yang terletak bersebelahan dengan Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di Ipoh yang berperanan melatih dan melahirkan bakal pengadil dan jurulatih hoki yang berkaliber di peringkat tempatan dan rantau Asia.

Baginda selaku Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHC) diberi penghormatan melancarkan bangunan itu yang dijangka mampu memuatkan 100 peserta pada satu-satu masa dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti ruang makan, rekreasi dan kemudahan internet apabila ia siap sepenuhnya kelak.

Pada majlis itu juga, Sultan Azlan berkenan menyampaikan sijil kepada 32 peserta remaja dari 13 buah negara Asia yang mengikuti kursus pengadil di Akademi Hoki AHF-MHC yang julung-julung kali diadakan di negeri ini.

Ia diadakan sempena Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah yang berlangsung dari 5 hingga 15 Mei ini.

Selain Malaysia, peserta dari Jepun, China, Sri Lanka, Brunei, India dan Korea turut menyertai kursus itu yang berlangsung selama empat hari. Ia antara lain bertujuan mendedahkan peserta mengenai undang-undang terbaru permainan hoki secara teori dan pratikal sempena kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-10.

Pada majlis itu juga, Sultan Azlan menerima sumbangan RM250,000 daripada Challenge Allied Sdn Bhd untuk disalurkan kepada Akademi AHF-MCH.

Sultan Azlan turut meluangkan masa beramah-mesra dengan pasukan hoki Malaysia dan memberi pesanan kepada pemain yang bakal meneruskan perjuangan mereka dalam kejohanan bertaraf dunia itu.

Terdahulu, pada sesi taklimat cadangan menaiktaraf sebahagian gelanggang tertutup Majlis Sukan Negara (MSN) kepada bangunan Akademi Hoki AHF, Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri, Datuk Ir Safri Kamal, berkata sejumlah RM890,000 diperlukan bagi menampung kos menaiktaraf bangunan itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Akademi AHF-MHC, Datuk Abdul Rahim Md Ariff, berkata akademi itu akan digunakan oleh jurulatih dan pengadil sukan itu bagi tujuan pembangunan hoki tempatan dan negara Asia.

Katanya, bangunan akademi itu yang sebelum ini merupakan dewan bankuet MSN akan diubahsuai mengikut keperluan dan ia adalah akademi pertama di dunia yang menyediakan premis untuk jurulatih, pengadil, pegawai teknikal dan para pelatih di bawah satu bumbung.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");