Perak Hari Ini

Tekat Benang Emas: Kraftangan warisan Perak

Tekat Benang Emas atau sulaman emas adalah warisan kesenian dan keindahan hasil tangan yang dibuat dengan menjahit benang emas ke atas lapisan kertas dimana ia kelihatan timbul.

Reka bentuk serta kehalusan jahitannya memerlukan kepakaran hasil tangan selain tumpuan menggambarkan ketelitian dan keindahan seni perekanya.

Walaupun seni tekat benang emas ini antara warisan budaya yang semakin dilupakan namun masih terdapat golongan masyarakat yang menjadikannya sebagai sumber pendapatan turun-temurun keluarga sejak berpuluh tahun lalu.

Mari kita lihat sejauhmana perusahaan membuat tekat benang emas mampu memberi keuntungan lumayan kepada pengusahanya di Kuala Kangsar.

Bagi Azizah Mohamad Yusuf walaupun usianya telah menjangkau 74 tahun namun minat untuk menghasilkan seni tekat warisan turun temurun itu tidak pernah terhenti.

Usaha tidak mengenal usia itu telah bermula sejak Azizah berumur 12 tahun dengan hanya melihat nenek dan ibunya membuat jahitan tekat benang emas tersebut.

Bermula dengan jahitan muka bantal Azizah mula menjadikan perusahaan itu sebagai sumber pendapatan namun ia hanya dijalankan dirumahnya.

Dengan sokongan kerajaan yang mengkomersialkan seni tekat benang emas sekitar tahun 1970-an Azizah kemudiannya dilantik sebagai duta seni warisan itu bagi memastikan ia tidak terus pupus.

Mempunya koleksi tekad lama berusia 200 tahun Azizah nekad untuk memastikan kesinambungan perusahaan seninya itu tidak terhenti.

Sehubungan itu pada tahun 1995 syarikat Mawar Cahaya Seni Tekad Enterprise dibuka secara serius dengan bantuan dua anaknya Mardziah dan Harris Abu Kassim.

Bermodalkan RM15,000 perusahaan itu memulakan operasi mereka di kedai yang terletak di Pekan Kuala Kangsar.

Antara hasil sulaman tekat benang emas dihasilkan ialah sarung bantal, cadar, alas meja, kusyen, lambang-lambang negeri, lapik peralatan pelamin, langsir serta pelapik hantaran pertunangan dan perkahwinan.

Menurut Mardziah 40 tahun disebabkan tempahan yang meningkat saban hari dia terpaksa membeli sebuah mesin jahit sulam selain bantuan pekerja separuh masa.

Walaupun menggunakan mesin jahit tekat namun bagi syarikat Mawar Cahaya Seni Tekad hasil kerja tangan masih diutamakan kerana ia lebih berkualiti dan halus.

Menggunakan benang emas berkualiti yang diimport dari Jerman jelas Mardziah syarikat itu memperuntukkan kira-kira USD 500 setiap kali mengimport.

Dengan harga antara RM 100 hingga RM 200 bagi hasil tekat mesin dan minimum RM 600 setiap set tekad jahitan tangan syarikat itu mampu mengaut untung lebih RM 10,000 setiap bulan.

Dua tahun selepas itu syarikat Mawar Cahaya Seni Tekat kemudian melangkah setapak lagi dengan permbukaan syarikat Geesaman Sdn Bhd dengan kapasiti pengeluaran yang lebih besar.

Bermodalkan RM 30,000 lagi keuntungan syarikat ini melonjak dan mempunyai sebuah bengkel lengkap dengan 10 mesin jahit pelbagai fungsi di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Kini setelah 10 tahun beroperasi syarikat itu mampu mengaut keuntungan antara RM 30,000 hingga RM 50,000 sebulan.

Dengan ribuan rekaan tekat yang telah dihasilkan menurut Mardziah antara yang menjadi kegemaran pelanggannya adalah corak awanlarat, bunga paku pakis, bunga padi dan bunga kekwa.

Hasil tekat benang emas milik kedua-dua ibu dan anak ini bukan sahaja mendapat  tempahan dikalangan pemimpin-pemimpin negara malah tidak terkecuali pihak istana.

Turut berminat dengan hasil seni tekat ini adalah pelancong asing dari pelbagai negara termasuk Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Perancis, London (Britain), Jepun, Brunei, Thailand, Arab Saudi, Indonesia, Singapura, Taiwan, Hong Kong dan China.

Kini setelah 48 tahun hasil seni tekat Azizah dan anaknya menjadi rujukan di kalangan pensyarah dan guru-guru dari pusat-pusat pengajian tinggi serta sekolah di negara ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");