Kolumnis

Kenapa Baling Batu Sembunyi Tangan?

Ketika artikel ini ditulis, keputusan siapa tiga Naib Presiden PAS yang baru belum lagi diketahui. Namun isu yang paling menarik dalam pemilihan kali ini ialah pendedahan skandal Husam-Kickdefella yang berakhir dengan pengakuan Kickdefella bahawa dia telah dibayar RM350,000 oleh Husam Musa sebagai pampasan peribadi dua tahun lalu setelah dipecat dari PMBK oleh menantu Nik Abdul Aziz, Ariffahmi.

Penafian lewat yang dibuat oleh Husam Musa membuatkan ramai yang tersenyum sinis. Apakan tidak, Husam cuba menunjukkan yang dia tidaklah kaya sehingga mampu memberikan Kickdefella wang sebanyak RM350,000. Malah turut menyatakan kesediaan untuk akaunnya diperiksa oleh SPRM.

Cabaran Husam itu bertepatan dengan apa yang tertulis di dalam circular yang diedarkan oleh ‘wakil’ salah seorang calon Naib Presiden yang bersaing dengan Husam.

“Adalah dianggarkan semenjak 2006 hingga 2008 sahaja, Husam telah dikatakan membiayai sejumlah lebih RM20 juta kepada mereka di atas menerusi wang-wang diagihkan oleh kroni-kroninya dan juga oleh individu-individu lain termasuk seorang peguam bernama Nordin bin Nor.

“Husam merupakan seorang yang licik. Hampir keseluruhan wang ini langsung tidak singgah di tangan Husam tetapi Husam menggunakan ‘remote control’ untuk mengawal pengaliran wang tersebut.

“Apakah pembiayaan projek-projek ini merupakan satu kegiatan ‘pembersihan wang haram?”

Siapa sebenarnya yang lebih tahu tentang Global Media Channel Sdn Bhd yang menerima pembiayaan daripada Husam untuk operasi TV PAS? Malah syarikat ini jugalah yang digunakan oleh Husam untuk membeli peralatan teknikal bernilai lebih RM1 juta? Siapa yang lebih tahu tentang aktiviti-aktiviti penjualan tanah dan balak yang dikaitkan dengan Husam Musa? Siapa pula yang tahu banyak rahsia gelap Husam dan orang yang disimpan oleh Husam sekalipun tidak disukai oleh pimpinan PAS Kelantan?

Dan cerita tentang Syarikat Hasrat Tinta digunakan untuk mengambilalih dan menerbitkan tabloid Wasilah pada 2006 hingga 2008, siapa yang tahu? Siapa yang buka cerita bahawa segala pembiayaan syarikat ini ditanggung daripada wang gelap yang disalurkan oleh Hashim bin Omar atas arahan Husam Musa? Malah siapa yang bawa cerita, Husam telah berbelanja lebih RM3 juta untuk membiayai Wasilah?

Kalau Anwar ada IKD, Husam pula ada KRISS yang diambialihnya dari tangan Ibrahim Ali, Presiden PERKASA sekarang. Jumlah pengambilalihan tersebut tidak diketahui. KRISS diletakkan di bawah jagaan Ahmad Rusli Ibrahim (Senator) dan memberikan sejumlah konsesi balak kepadanya sebagai imbalan menjaga KRISS. KRISS bertanggungjawab membuat kajian bagi pihak Husam. Tetapi lebih daripada itu, KRISS sebenarnya adalah barisan hadapan untuk Husam mendapat alasan menyokong permohonan balak dan projek kerajaan negeri bagi Ahmad Rusli. Dan ia juga adalah cara Husam menghalalkan pemberian wang kepada Ahmad Rusli, bekas Setiausaha UMNO Kelantan.

Segala maklumat ini bukan datangnya daripada Kickdefella. Jauh sekali daripada kalangan pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan. Ibrahim Ali, Presiden PERKASA juga tidak membuka mulut untuk sebarang cerita tentang Husam Musa. Sebaliknya segala maklumat ini sama ada ianya satu fitnah untuk menyusahkan Husam menang jawatan Naib Presiden atau pun sebagai satu jaminan, seseorang yang lain tidak dihalang untuk objektifnya menjadi Timbalan Presiden PAS pada muktamar akan datang, berpunca dari orang dalam PAS sendiri.

Lebih tepat lagi musang berbulu ayam.

Ramai yang sudah boleh mengagak siapakah orang yang dimaksudkan. Apatah lagi si pengedar circular tersebut adalah orang yang sangat dikenali ketika kekecohan Pakatan Rakyat hilang kuasa di Perak dengan upacara solat hajat di hadapan Ibu Pejabat DAP Perak. Namun yang menjadi keanehan ialah, sikap pengecut yang diamalkan oleh pemimpin bermata sepet, gemar melambai dan masih sawan meroyan itu. Sedangkan kalau benar seperti yang dilaung-laungkannya bahawa dia adalah pejuang kebenaran, tidak perlulah dia melempar batu sembunyi tangan. Mungkin juga ada baiknya jikalau buat secara berterus-terang.

Itu akan lebih memudahkan dia untuk memanjat tangga hierarki PAS meskipun usianya dengan PAS masih muda, iaitu selepas ‘nasihat’ diberikan agar dia tidak masuk UMNO Perak kerana peluang mendapat kuasa dan jawatan dalam UMNO Perak agak mustahil untuk orang sepertinya!

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");