Perak Hari Ini

Konsep Nilai 3 diperkenalkan di Sri Iskandar, babit pelaburan RM200 juta

Pertumbuhan ekonomi negeri Perak yang semakin pesat sejak dua tahun kebelakangan ini berjaya menarik minat pelabur untuk memperkenalkan konsep jualan borong Nilai 3, di Bandar Sri Iskandar membabitkan pelaburan bernilai kira-kira RM200 juta.

Konsep Nilai 3 itu juga dijangka meletakkan Perak sebagai pusat jualan borong bagi zon utara selain menyediakan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan kepada penduduk di sekitar Daerah Perak Tengah.

Projek yang dibangunkan oleh Setia Awan Holdings dan Persatuan Peniaga Nilai 3 itu akan membabitkan kawasan seluas 19.2 hektar dengan pembinaan 222 unit kedai yang juga merupakan sebahagian daripada projek Sri Iskandar Business Centre (SIBC).

Ia dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2012.

Pengarah Syarikat Setia Awan Holdings, Marcus Doh, berkata dengan memperkenalkan konsep Nilai 3 di Sri Iskandar, pihaknya menjangka 3 juta pelancong tempatan akan berkunjung ke bandar itu terutamanya dari negeri berdekatan seperti Pulau Pinang dan Kedah.

Katanya, pengunjung boleh membeli pelbagai barangan di Sri Iskandar seperti barangan perhiasan rumah dan pakaian dengan harga yang murah.

“Sri Iskandar Business Centre ialah projek yang dibangunkan di kawasan seluas 32 hektar dengan kos pelaburan RM300 juta yang bakal mewujudkan sebuah bandar baru yang serba moden di Daerah Perak Tengah.

“Selain 600 unit kedai pejabat, projek ini menyediakan kemudahan pasar raya, hotel serta panggung wayang dan tarikan utama orang ramai ke kawasan ini nanti ialah pusat jualan borong Nilai 3 yang kita jangka dapat menarik kehadiran 3 juta pelancong ke Perak pada setiap tahun.

“Kita yakin dengan wujudnya konsep Nilai 3 di Sri Iskandar, ia akan merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan sekaligus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk di sekitar Bota dan Parit,” katanya di Ipoh, hari ini.

Terdahulu, Marcus dan Pengerusi Persatuan Peniaga Nilai 3, Dr Tee Boon Thiam, masing-masing menandatangani memorandum persefahaman (Mou) bagi menjayakan projek itu yang disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Tee berkata pihaknya berminat untuk bekerjasama dengan Setia Awan Holdings bagi mewujudkan pusat jualan borong di kawasan zon utara Semenanjung Malaysia.

“Kebanyakan produk yang dijual di Nilai 3 diimport dari luar negara seperti Eropah dan China dan kita menawarkan harga borong yang paling murah di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Zambry berkata projek yang membabitkan kerjasama sektor swasta itu bakal memberi nilai dan tarikan baru kepada Daerah Perak Tengah, khususnya di Sri Iskandar.

Selain itu, ia juga katanya, dilihat akan memberi saingan sengit kepada Daerah Manjung pada masa akan datang.

“Projek ini dibangunkan sepenuhnya oleh sektor swasta dan kita di pihak kerajaan negeri amat mengalu-alukan penyertaan mana-mana syarikat yang boleh memberi nilai tambah kepada kawasan sedia ada,” katanya.

Ditanya kedudukan projek itu yang jauh dari Lebuhraya Utara Selatan, Zambry berkata, kerajaan negeri mahu pembangunan diagih-agihkan ke serata negeri kerana tidak mahu tertumpu di kawasan Ipoh sahaja.

“Walaupun jauh daripada lebuhraya utama, projek ini terletak  di laluan Ipoh-Lumut yang juga jalan persekutuan dan yang paling utama, ia ialah antara usaha kerajaan untuk memastikan rakyat di serata negeri mendapat nikmat daripada projek pembangunan yang dirancang,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri tambahnya, akan membangunkan mana-mana kawasan di Perak yang dilihat berpotensi untuk dimajukan demi faedah dan kesejahteraan rakyat jelata

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");