Perak Hari Ini

Tradisi Memasang Pelita Panjut Semakin Terhakis Dan Membimbangkan, kata Adun Belanja

Tradisi menyalakan lampu panjut bagi menerangi laman rumah sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri sejak puluhan tahun lalu kini semakin dilupakan dan bakal menjadi sejarah sekiranya tindakan segera mengembalikan budaya Melayu itu dibuat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Belanja, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan.

Menurutnya, zaman kegemilangan budaya Melayu itu kini semakin terancam dan boleh dilihat pada setiap kali menjelang sambutan Hari Raya di mana bilangan rumah yang memasang lampu minyak tanah tersebut semakin berkurangan.

“Jika 10 tahun lalu, setiap rumah di kampung-kampung akan berlumba-lumba memasang pelita minyak tanah menghiasi laman masing-masing, malahan diadakan pertandingan bagi memeriahkan lagi suasana ketika umat Islam menyambut Hari Raya.

”Bagaimana pun sekarang, tradisi itu semakin dilupakan generasi muda,” katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Raya-Merdeka di Kampung Bukit Chupak, Parit semalam.

Pada program berkenaan, Zaim telah berkunjung ke beberapa buah rumah penduduk untuk meninjau sambutan Hari Raya sambil menghulurkan duit raya kepada kanak-kanak.

Turut mengiringi beliau, Ketua Kampung Bukit Chupak, Khairul Saleh Baharuddin, 42.

Sementara itu, Khairul Saleh berkata budaya memasang panjut kini semakin dilupakan disebabkan kesibukan tugas termasuk penggunaan lampu kelip-kelip elektrik menyebabkan keaslian panjut semakin terhakis.

”Sehubungan itu,masyarakat perlu menghidupkan semula budaya berkenaan kerana ianya memberikan suasana menarik di waktu malam.

”Bagi tujuan itu, adalah dicadangkan pada masa hadapan, semua kampung dalam kawasan Parlimen Parit mengadakan pertandingan panjut setiap kali menjelang sambutan hari Raya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");