shadow

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bercadang menyediakan Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) bagi laluan antara Ipoh dan Padang Besar, Thailand penghujung tahun 2014.

Ketua Pegawai Operasi ETS Azizullah Kinayatullah berkata perkhidmatan itu adalah inisiatif bagi menggalakkan kedatangan pelancong selain memperkenalkan Perak sebagai salah satu destinasi pelancongan.

“Kita (KTMB) juga sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan perkhidmatan bagi menarik lebih ramai penumpang menggunakan perkhidmatan itu kerana ia (ETS) kini mula mendapat tempat di kalangan orang ramai yang berulang alik ke Kuala Lumpur dan sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan 350 pek cenderahati kepada penumpang sempena perayaan Tahun Baru Cina di Stesen Keretapi di sini, Jumaat.

Program yang diserikan dengan persembahan Tarian Naga itu adalah merupakan tanda terima kasih bagi menghargai sokongan yang diberikan oleh para pelanggan kepada perkhidmatan ETS.

Sempena perayaan itu, ETS menawarkan sejumlah 39,200 tiket untuk semua perjalanan bermula dari Seremban, Kuala Lumpur dan Ipoh mulai hari ini sehingga 25 Jan depan.

Beliau berkata tiket itu melibatkan perjalanan dari Ipoh-Kuala Lumpur, Ipoh-Seremban, Kuala Lumpur-Ipoh dan Seremban-Ipoh dengan menawarkan perjalanan sehala pada harga RM45, RM35 dan RM25.

“Sehingga hari ini sebanyak 20,020 tiket telah habis dijual dan jumlah baki tiket ialah 19,180 keping,” katanya.

Sementara itu, Azizullah berkata penganut agama Hindu boleh menyaksikan sambutan meriah perayaan Thaipusam akan datang di Batu Caves dan Gunung Ceruh, Ipoh dengan menggunakan ETS.

“Kita akan sediakan empat perkhidmatan khas ETS iaitu dua perkhidmatan bagi laluan Ipoh ke Batu Caves dan dua perkhidmatan dari Batu Caves ke Ipoh,” katanya.

— BERNAMA

Comments

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>