shadow

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Sepang International Circuit (SIC) terus menggiatkan promosi untuk perlumbaan Grand Prix Petronas Malaysia.

Pengerusi SIC Datuk Mokhzani Tun Mahathir berkata Perdana Menteri memberitahunya bahawa beliau (Najib) berpuas hati dengan perlumbaan hari ini dan berharap SIC akan terus memperhebatkan usaha untuk penganjuran perlumbaan berprestij itu tahun depan.

“Beliau (Najib) sangat gembira dan mahu memastikan perlumbaan diberi liputan sepenuhnya dan dihadiri ramai penonton. Beliau sangat mengambil berat dan bertanya apa yang boleh kita lakukan untuk perlumbaan tahun hadapan yang mana masih lagi dalam kontrak. Beliau mahu perlumbaan ini benar-benar menarik,” kata Mokhzani.

Perdana Menteri telah menyampaikan hadiah kepada juara perlumbaan kali ini iaitu Fernando Alonso dari pasukan Scuderia Ferrari, Sergio Perez (Sauber F1 Team) yang menduduki tempat kedua dan Lewis Hamilton (Vodafone McLaren Mercedes) pemenang tempat ketiga.

Perlumbaan hari ini dihentikan selama 51 minit selepas pegawai perlumbaan mengibarkan bendera merah pada pusingan ke lapan berikutan hujan lebat di litar Sepang.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat menyaksikan perlumbaan berprestij itu dan meluangkan masa melawat garaj pasukan yang bertanding.

Pasangan diraja itu diiringi oleh Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Sementara itu, Mokhzani berpuas hati dengan jumlah kehadiran penonton sepanjang tiga hari penganjuran perlumbaan itu walaupun sasaran 90,000 penonton pada hari perlumbaan berkurangan 5,000 orang.

Perlumbaan tahun ini merekodkan kehadiran penonton seramai 119,960 sepanjang tiga hari perlumbaan yang bermula pada Jumaat.

— BERNAMA

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *