shadow

Kerajaan negeri berpuas hati dengan jumlah kehadiran pengunjung Pesta Laut Pangkor Lumut 2012 yang dianggarkan mencecah 150,000 orang sepanjang tempoh enam hari pesta itu berlangsung.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pesta itu bukan sahaja dapat menarik kehadiran pelancongan tempatan tetapi juga asing yang tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat keunikan bandar Lumut yang juga dikenali sebagai bandar maritim.

“Jumlah pengunjung yang hadir setiap malam bagi melawat ruang pameran, jualan dan aktiviti yang ada di pesta laut ini tidak kurang daripada 50,000 orang.

“Pada masa sama, pengunjung juga boleh melihat sendiri keunikan dan keistimewaan Bandar Lumut yang juga dikenali dengan gelaran bandar maritim,” katanya selepas merasmikan pelepasan Walkathon di Dataran Lumut, pagi ini.

Hadir sama, Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Manjung, Zamri Man.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, jumlah kehadiran pengunjung yang melebihi sasaran ini merupakan petanda baik dalam usaha merealisasikan sebahagian daripada hasrat kerajaan mensasarkan kehadiran lima pelancong melawat negeri ini sempena Tahun Melawat Perak (TMP 2012).

Terdahulu, Zambry melepaskan kira-kira 1,000 peserta Walkathon wanita sempena acara kemuncak Pesta Laut Lumut Pangkor.

Pertandingan berjalan kaki sejauh 4 km itu bermula di Dataran Lumut dengan mengelilingi pekan Lumut sebelum berakhir di tempat yang sama.

Antara organisasi yang terlibat termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Bomba dan Penyelamat, Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Bakat Laut Lumut serta pelajar sekolah sekitar Lumut.

Zambry yang hadir bersama isteri, Datin Seri Saripah Zulkipli turut tidak melepaskan peluang menyertai pertandingan walkathon yang bermula jam 8 pagi.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *