shadow

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahalan, berkata pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 4, Akta Hasutan 1969 berhubung dakwaan ADUN Pasir Panjang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin terhadap Perdana Menteri dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas menerima enam laporan, kelmarin.

Laporan itu katanya, dibuat oleh ahli pertubuhan belia di Balai Polis Simpang Pulai.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada mantan Menteri Besar itu akan dipanggil untuk memberi keterangan tetapi menegaskan siasatan dibuat mengikut prosedur ditetapkan.

Nizar dalam ceramahnya di Taman Desa Pakatan, Pengkalan pada malam Isnin lalu mendakwa beliau dikhabarkan bahawa Datuk Seri Najib Razak mengadakan pertemuan dengan semua panglima ATM dan meminta mereka melakukan sesuatu jika Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum Ke -13 (PRU-13).

Ceramah yang dimuat naik dalam laman YouTube mendakwa semua panglima yang ditemui enggan menuruti permintaan itu dengan mengatakan mereka akan menghormati keputusan rakyat.

Kelmarin, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan menyatakan segala dakwaan serta kenyataan Mohamad Nizar adalah tidak benar dan satu pembohongan.

Nizar sendiri juga mengakui beliau tidak mempunyai bukti kukuh di atas dakwaan pertemuan antara Najib dengan pegawai tertinggi ATM untuk membincangkan isu politik, sebaliknya hanya mendengar khabar angin.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *