shadow

“Jika pemain menganggap mereka berada dalam zon selesa, ini bukan lagi tempat dan masanya untuk mereka meneruskan aksi dengan pasukan Seladang”.

Demikian amaran keras Pengurus Pasukan Perak, Khairul Azwan Harun terhadap pemain pasukan Seladang untuk menghadapi pusingan kedua Liga Super 2012 yang bermula esok.

Katanya, pemain harus memandang serius perkara itu kerana pasukan Seladang semakin kesuntukan masa dan perlu menang dalam semua perlawanan akan datang.

Bercakap kepada pemberita di Ipoh sebentar tadi, untuk pusingan kedua, prestasi pemain bukan sahaja dinilai ketika perlawanan tetapi juga semasa latihan dan perlawanan persahabatan.

“Kriteria itu akan dimasukkan sebagai klausa dalam kontrak untuk menilai sejauh mana komitmen yang ditunjukkan oleh pemain.

“Bukan sekadar hadir tepat pada waktu latihan tetapi usaha lebih yang ditunjukkan oleh pemain turut dinilai oleh pihak pengurusan pada pusingan kedua ini,” katanya lagi.

Beliau berkata, semua pemain termasuk simpanan diberi peluang untuk menjadi kesebelasan utama dalam pusingan kedua nanti.

“Kita juga akan menggunakan tenaga pemain baru yang bermain di Piala Presiden untuk beraksi di Liga Super.

“Pemain simpanan juga berpeluang untuk beraksi sebagai kesebelasan utama tetapi masalahnya mereka ini terlalu rendah diri dan kita akan perkenalkan pendekatan baru untuk menguatkan jati diri dan emosi mereka,” tegasnya.

Beliau juga berkata, hubungan antara ketua jurulatih, Norizan Bakar dengan pihak pengurusan dan pemain adalah baik dan PAFA berharap peminat bola tempatan dapat memberi sokongan padu dan tidak berbelah bagi kepadanya.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya katanya, membenarkan Perak meminjam tiga pemain tempatan untuk beraksi dalam Piala Malaysia.

Jelasnya, Nasir Basaruddin yang digugurkan pada awal musim akan beraksi semula untuk menggantikan tempat Badrol Azam yang direhatkan akibat kecederaan.

Pada majlis itu juga, Khairul Azwan turut mengumumkan dua calon pemain import yang bakal beraksi bersama pasukan Seladang iaitu Albert Dominique Ebosse Bodjongo dari Cameron dan Tomas Oravec dari Slovakia bagi menggantikan tempat Lazar Popovic.

“Pemain mana yang terpilih belum dimuktamadkan lagi oleh PAFA dan kita akan buat pengumuman rasmi apabila keputusan sudah dibuat nanti,” katanya.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *