Perak Hari Ini

Dakwaan Hadi Ahli UMNO Sama Kafir Harbi Melampau, Boleh Cetus Pergaduhan Sesama Orang Islam

Tafsiran Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyamaratakan ahli UMNO dengan kafir harbi kerana menolak hukum hudud amat melampau kerana dikhuatiri boleh mencetuskan pergaduhan sesama umat Islam di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, berkata kenyataan itu susulan fatwa seorang tok guru Pondok Genting, dekat Kelantan bahawa menyokong kafir harbi yakni mereka yang menentang Islam seperti DAP adalah haram.

“Yang jadi persoalan ialah mengapa puak penyokong PAS dan Hadi berasa marah dan menyalahkan UMNO dan Utusan Malaysia, bukannya kepada tok guru yang mengeluarkan fatwa berkenaan,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama warga media anjuran Felcra Berhad di Ipoh, Rabu.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, berkata kenyataan terbaru Hadi itu menunjukkan beliau kembali kepada perangai lamanya yang suka mengkafirkan orang dengan sesuka hati.

“Beliau langsung tidak berhati-hati apabila membuat kenyataan atau tafsiran…tiada orang yang rasional boleh terima seorang Melayu yang menjadi ahli UMNO adalah kafir harbi kerana kita mengucap dua kalimah syahadah serta melaksanakan hukum serta menegakkan syiar Islam.

“Ia meliputi pembangunan ummah dari segi pelajaran dan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan hari ini yang jelas memperjuangkan Islam,” tegasnya lagi.

Berbeza dengan DAP, parti itu katanya, jelas menentang dan menggugat kepentingan orang Islam di negara ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Tajuddin menegaskan tindakan pemimpin PAS itu boleh menjurus kepada politik melampau dan jika tidak dapat dikawal, perasaan marah dan pergaduhan sesama umat Islam boleh tercetus.

“Saya amat kesal tokoh politik seperti Hadi yang kaya ilmu boleh membuat tafsiran sesuka hati kerana politik,” jelasnya.

Sementara itu, Tajuddin turut mengingatkan pegawai dan kakitangan kerajaan supaya jangan mengambil sikap tidak peduli terhadap apa jua kerajaan yang akan dibentuk selepas pilihanraya ke 13 nanti kerana ia menjadi penentu masa depan mereka.

Katanya, kedudukan pegawai dan kakitangan kerajaan yang berada dalam senario selesa  hari ini adalah hasil perancangan terbaik kerajaan BN.

“Mereka dilindungi dalam banyak aspek kerana kerajaan BN memerintah hari ini.

“Sekiranya selain kerajaan BN misalnya kerajaan Pakatan Rakyat memerintah, sudah pasti nasib dan masa depan 1.5 juta kakitangan awam tidak akan terjamin lagi,’’ katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");