shadow

Tingkat atas rumah dua tingkat penyanyi Alleycats, mendiang Datuk A. Loganathan di Jalan Azyze Tanjung Bungah di sini musnah dalam kebakaran hari ini.

Balu mendiang, Datin Susan Loganathan, 56, berkata dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, beliau dan adik lelakinya sedang berehat di ruang tamu sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan dan melihat kepulan asap di tingkat atas kediamannya.

“Saya hanya tinggal berdua dengan adik saya, Kevin Jonathan Boudville, 46, dan sebaik sahaja melihat asap itu itu kami segera mencapai dokumen penting dan terus keluar dari rumah,” katanya kepada pemberita di Georgetown.

Beliau yang mengalami kecederaan ringan pada tangan dan sedikit rambutnya terbakar, berkata tingkat atas kediamannya yang menempatkan koleksi piring hitam nyanyian mendiang suaminya sejak tahun 1980-an dan pelbagai barangan berharga seperti barang kemas serta wang tunai hangus dijilat api.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana kenangan bersama suaminya seperti gambar kenangan, trofi dan pelbagai anugerah mendiang yang diletak di tingkat bawah tidak terjejas.

Abang mendiang, Datuk A. David yang turut melawat lokasi kejadian berkata kali terakhir beliau berkunjung ke rumah adiknya pada tahun lepas.

“Sudah 12 tahun mereka menyewa di sini dan rumah itu menyimpan pelbagai kenangan berharga adik saya,” katanya sebak.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Bagan, Jermal, A. Ravi, berkata sebanyak 29 anggota bomba dan enam jentera dihantar ke tempat kejadian sejurus menerima laporan pada jam 11.18 pagi.

“Bomba turut menyelamatkan tiga ekor anjing yang terperangkap dalam kebakaran dan api merebak sedikit ke rumah jiran namun dapat dikawal sepenuhnya dalam tempoh 15 minit,” katanya.

Beliau berkata punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

– BERNAMA

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *