Perak Hari Ini

Kerajaan Perak Bina 100 Unit Rumah PPR Di Parit Haji Wahab

Sebanyak 100 unit rumah teres setingkat akan dibangunkan di Parit Haji Wahab, dekat Parit Buntar di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang bernilai lebih RM10 juta.

Dibangunkan di tapak seluas 11 ekar, projek di bawah peruntukan RMK-10 itu turut merangkumi kawasan padang permainan, tapak surau, tapak dewan serbaguna dan lot kedai.

Majlis pecah projek ini disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, hari ini. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Gazali Jalal.

Setiap unit rumah berkeluasan 740 kaki persegi dengan tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, dapur dan tempat letak kereta.

Projek ini dibangunkan selaras dengan matlamat kerajaan negeri meningkatkan kualiti hidup rakyat di negeri Perak agar bergerak seiring dengan kepesatan pembangunan negara.

Ini kerana kerajaan negeri sentiasa serius menjaga kebajikan rakyat dari segi penyediaan kemudahan perumahan yang mencukupi, berkualiti, selesa dan mampu dimiliki.

Yakin Kemudi Enterprise dilantik sebagai kontraktor projek berkenaan yang dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2014.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Zambry menegaskan, PPR bukannya projek pilihanraya  atau gula-gula untuk menarik sokongan rakyat, sebaliknya komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) memastikan setiap rakyat di Perak memiliki rumah sendiri.

Peruntukan kepada projek itu katanya, disalurkan melalui lebihan hasil yang dijana oleh kerajaan negeri yang kemudiannya dikembalikan semula kepada rakyat dengan menyediakan kemudahan rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah.

“Adalah menjadi harapan saya dan kerajaan negeri untuk melihat setiap rakyat di negeri ini mempunyai rumah sendiri dan kita memperkenalkan pelbagai pendekatan untuk merealisasikan hasrat itu termasuklah skim mikro-kredit yang ditawarkan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (Prima) di peringkat Pusat.

“Pendekatan yang diperkenalkan kerajaan negeri ini seiring dengan komitmen dan motto Tiada Tertinggal Tiada Terpinggir yang bertujuan membasmi kemiskinan termasuklah dengan menyediakan rumah mampu milik demi kesejahteraan rakyat,” tambahnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengingatkan pemaju supaya menyiapkan projek itu mengikut tempoh masa dan kualiti yang ditetapkan.

Ini kerana katanya, jika projek itu terbengkalai, pemaju bukan sahaja berdosa kepada pembeli tetapi juga kepada Allah kerana gagal menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

“Saya tidak mahu dengar projek seperti ini terbengkalai dan pihak pemaju juga perlu melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan baik memandangkan mereka menyediakan kemudahan asas kepada rakyat,” katanya lagi.

Sementara itu, penduduk tempatan dari Kampung Sungai Labu Atas, Mohd Syukur Ismail, 33, menyambut baik usaha kerajaan memperkenalkan projek seumpama itu, sekaligus memberi ruang kepada rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

“Projek seumpama ini dapat membantu rakyat berpendapatan rendah seperti saya yang berpendapatan bawah RM1,500 sebulan untuk memiliki rumah idaman.

“Sudah pasti projek ini mendapat sambutan baik daripada rakyat di Perak khususnya di Parlimen Parit Buntar ini kerana masih ramai lagi yang belum memiliki rumah atau sekadar menyewa dengan kadar sekitar RM200 sebulan,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");