Sukan Hari Ini

Liverpool, Arsenal buru kemenangan pertama

SUAREZ (kiri) akan menjadi sandaran Liverpool untuk merobek gawang Arsenal malam ini.

LONDON – Liverpool terdesak untuk menewaskan Arsenal pada aksi Liga Perdana England di Stadium Anfield malam ini.

Bagaimanapun, skuad The Reds terpaksa menghadapi perlawanan tersebut tanpa kelibat penyerang, Andy Carroll yang dipinjamkan kepada West Ham United, Khamis lalu.

Pertemuan itu sangat penting bagi Liverpool dan The Gunners kerana kedua-dua kelab itu masih tercari-cari kemenangan pertama dalam kempen musim ini.

“Kami menghadapi satu lagi perlawanan penting hujung minggu ini (malam ini). Kami menampilkan persembahan yang menakjubkan minggu lalu tetapi gagal memperoleh keputusan yang diharapkan,” kata pengurus Liverpool, Brendan Rodgers selepas The Reds seri 2-2 dengan juara bertahan, Manchester City.

“Perlawanan pada hujung minggu ini pastinya sukar tetapi para pemain kami sudah bersedia untuk menghadapinya.”

Luis Suarez menjaringkan gol pada pertemuan menentang City itu tetapi dia tidak akan bergandingan lagi dengan Carroll musim ini.

Arsenal pula terpaksa menaruh kepercayaan kepada penjaga gol simpanan, Vito Mannone sekali lagi selepas Wojciech Szczesny mengalami kecederaan rusuk.

Mannone dari Itali beraksi cemerlang semasa menjaga gawang skuad The Gunners ketika seri tanpa jaringan dengan Stoke City minggu lalu.

“Ia adalah impian semua pemain muda untuk bermain di Anfield. Saya berkunjung ke stadium itu beberapa tahun lalu semata-mata ingin melihat stadium itu,” kata Mannone.

“Ia akan menjadi sesuatu yang menyeronokkan sekiranya saya diberi peluang kerana saya teruja untuk bermain di stadium itu, merasai suasana persekitaran dan berharap kami akan menang.” – Agensi

– KOSMO!

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");