Laporan Eksklusif

Isu Kalimah Allah: PR Letak Faktor Politik Atasi Syarak

Polisi Pakatan Rakyat (PR) berhubung dengan isu kalimah Allah yang disepakati pada 4 Januari 2010 kekal sampai sekarang walaupun Majlis Syura PAS pada 8 Januari lalu memutuskan sebaliknya menunjukkan mereka meletakkan kepentingan faktor politik mengatasi kepentingan syarak.

Pensyarah Universiti Islam Antarbangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Sidek Baba, berkata faktor politik sepatutnya berada di bawah faktor syarak, iaitu yang paling utama.

“Keputusan pemimpin PR itu menunjukkan mereka ini meletakkan kepentingan faktor politik paling utama mengatasi syarak.

“Selain itu, provokasi kalimah Allah yang dibangkitkan oleh seorang pemimpin kanan DAP di utara tanahair sebenarnya mempunyai muslihat dan maksud tersirat iaitu mahu menimbulkan kesedaran terhadap penganut Kristian di Sabah dan Sarawak supaya tidak lagi menyokong kerajaan yang memerintah hari ini.

“Strategi ini bukan sahaja bertujuan untuk merampas Sabah dan Sarawak, tetapi juga negeri lain seperti Perak dan Negeri Sembilan,” katanya sempena ucaptama Seminar Nusantara: Islam Di Nusantara (Cabaran Dan Harapan) di PTWC, dekat Kuala Lumpur, malam tadi.

Semalam, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, menegaskan polisi Pakatan Rakyat (PR) berhubung dengan isu kalimah Allah yang pernah disepakati pada 4 Januari 2010 masih kekal sampai sekarang walaupun Majlis Syura PAS pada 8 Januari 2013 memutuskan sebaliknya.

Azmin juga menegaskan, pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR) telah sebulat suara menerima pendirian Abdul Hadi yang membenarkan semua agama menggunakan kalimah suci itu tanpa menterjemahkannya ke bahasa lain dan tidak boleh disalahgunakan.

“Pendirian ini tuntas dengan pendirian PAS pada 2010, tidak berganjak walaupun perkara ini dibincangkan semula oleh kerana beberapa kenyataan, tetapi pendirian PAS dan PR tidak berubah.

“Kita tidak boleh tukar pendirian setiap hari,” kata beliau lagi.

Ahad lalu, mesyuarat Majlis Syura PAS memutuskan supaya kalimah ALLAH tidak boleh digunakan dalam Bible versi nahasa Melayu selepas isu berkenaan dibantah pelbagai pihak.

Mesyuarat yang dipengerusikan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan perkataan ‘God’ atau ‘Lord’ dari mana-mana kitab agama bukan Islam adalah salah dari segi makna, tidak menepati kehendak sebenar dan perlu dicegah kerana membawa kekeliruan yang nyata.

Mengulas lanjut, Dr Sidek berkata, umat Islam perlu bersatu untuk menghadapi provakasi ini dan para ulama pula harus bekerjasama untuk berani menyatakan yang benar atau sebaliknya.

“Ulama harus bekerjasama…yang benar katakan benar dan tak benar katakan tak benar,” katanya lagi.

Menjawab soalan salah seorang peserta berkaitan dakwaan penggunaan kalimah Allah dalam Bible Bahasa Melayu akan menarik bukan Islam mendekati Allah, Dr Sidek menegaskan, perkara itu berlaku sebaliknya kerana semakin ramai umat Islam yang mengambil tindakan keluar Islam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");