Program Basmi Kemiskinan

Masalah Setinggan Simpang Halt: 20 Keluarga Terima Geran Tanah

Seramai 20 keluarga setinggan di Kampung Simpang Halt, dekat Taiping kini mampu menarik nafas lega apabila masing-masing menerima geran hak milik tanah yang ditunggu-tunggu mereka sejak sekian lama.

Selain itu, seramai 10 individu lagi terpilih untuk menerima Borang Tawaran 5A bagi penempatan fasa yang pertama.

Majlis penyerahan geran tanah telah disempurnakan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk seri Dr Zambry Abd Kadir dan disaksikan kira-kira 300 penduduk tempatan.

Kesemua penerima berasa teruja kerana masalah penempatan yang membelenggu penduduk kawasan itu akhirnya menemui jalan penyelesaian hasil usaha gigih kerajaan negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Salah seorang penerima, P. Muniandy, 61, berkata penantian keluarganya selama 50 tahun diakhiri dengan khabar gembira apabila kerajaan negeri bersetuju memberi geran tanah secara sah.

“Saya begitu gembira kerana hari ini saya terpilih untuk menerima geran tanah dan ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar yang sudi membantu,” katanya.

Bagi Adnan Khamal, 60, penantian lebih 20 tahun itu akhirnya berbaloi di atas keprihatinan kerajaan negeri yang sudi membantu menyelesaikan masalah penempatan di kawasannya.

“Terima kasih kepada kerajaan kita kerana membantu kami penduduk di Jalan keretapi dengan memberikan geran tanah,” katanya.

Sementara itu, bagi penerima Borang 5A, Johari Ibrahim, 68 berkata ketiadaan geran tanah menyebabkan beliau dan keluarganya terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah.

“Masa tiada perjanjian hitam dan putih dulu macam-macam yang terjadi… pernah ada yang kata tanah kami akan diambil untuk pembangunan tapi bila Menteri Besar kata nak bagi geran saya amat bersyukur,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Besar pada sidang medianya, berkata secara keseluruhannya kerajaan negeri telah meluluskan 870 lot perumahan kepada penduduk di laluan kereta api lama yang berdepan dengan masalah penempatan.

Bagi kawasan penempatan di Kurnia Jaya, sebanyak 520 lot perumahan telah disediakan bagi menyelesaikan masalah pemilikan tanah yang sekian lama membelenggu penduduk.

“Saya telah menyampaikan geran tanah termasuk geran tanah di sepanjang laluan kereta api lama iaitu di Kuala Sepetang dan juga di kawasan Simpang Halt dan tidak ketinggalan di Kurnia Jaya yang telah kita tunaikan kepada rakyat seperti telah dijanjikan,” kata beliau.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri akan terus memantau proses pemberian kawasan penempatan untuk penduduk yang tidak memiliki geran tanah seperti yang pernah dijanjikan sebelum ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");