Sukan Hari Ini

Arab Saudi dedah kelemahan Harimau Malaya

SHAH ALAM – Jika aksi persahabatan berdepan Arab Saudi, semalam dijadikan ukuran ternyata Harimau Malaya perlu banyak melakukan kerja rumah memperbaiki kelemahan bagi menghadapi Yemen dalam kelayakan Piala Asia 2015, Jumaat ini selepas tunduk 1-4 di Stadium Shah Alam.

Biarpun mempamerkan peningkatan pada babak kedua, masih banyak perlu diperbaiki oleh jurulatih, Datuk K. Rajagobal dalam usaha memburu kemenangan sulung bagi menghidupkan kembali peluang dalam saingan Kumpulan D kelayakan Piala Asia 2015.

Jaringan sulung Arab Saudi hadir melalui Yousef Alsalem yang menggegarkan gawang Malaysia seawal minit kelapan sebelum pemain bertubuh kecil, Yahya Alshehri menggandakan kelebihan buat Arab Saudi pada minit ke-30.

Pemain Johor Darul Takzim, Safiq Rahim, menceriakan kira-kira 5,000 penonton setia Harimau Malaya, apabila berjaya merapatkan jurang pada minit ke-71, namun gol penyamaan yang dicari gagal hadir.

Sebaliknya, Arab Saudi mengukuhkan cengkaman dengan dua gol di minit terakhir melalui Naif Hazazi dan Hamdan Alhamdan.

Eksperimen yang cuba dilakukan oleh Rajagobal terutama pada babak pertama dengan memilih formasi 4-3-3 dan memberi ruang kepada Mohd. Badhri Radzi untuk turun beraksi buat kali pertama bersama skuad kebangsaan tidak membawa sebarang makna apabila mereka ternyata tidak mampu menyaingi persembahan kemas yang dipertunjukkan oleh lawan yang berada di kedudukan 106 dunia itu.

Kegagalan menguasai bahagian tengah banyak membuka ruang kepada Arab Saudi mengasak kubu Harimau Malaya dan aksi longlai bek kiri negara, Asraruddin Putra Omar yang menjadi punca kepada dua gol lawan sehingga dia terpaksa dikeluarkan pada minit ke-35 dan digantikan oleh Zubir Azmi.

Yousef mudah menanduk masuk selepas menerima bola hantaran silang dari sebelah kanan dan 22 minit kemudian, Yahya bijak menghukum kelalaian pertahanan negara dengan rembatan kencang yang dapat menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Perubahan taktikal dan pemain secara drastik pada permulaan separuh masa kedua dengan memasukkan Safiq Rahim, K. Gurusamy, K. Reuben, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak, Ashari Samsudin dan Norazlan Razali memberikan sedikit petanda positif bahawa Harimau Malaya mampu bersaing.

Banyak deretan peluang dicipta tetapi ketumpulan penyudah Norshahrul Idlan Talaha, R. Gopinathan dan Ashari menghampakan Harimau Malaya.

Mujurlah hantaran daripada Abdul Manaf Mamat dari sebelah kiri yang disambut oleh Safiq dapat menewaskan Waled Abdullah sekali gus menjadi jaringan penyelamat Harimau Malaya.

Pertahanan negara gagal mengekalkan fokus pada penghujung permainan apabila dihukum dua gol pantas Naif yang langsung tidak dikawal semasa melepaskan percubaan pada minit ke-89 dan Hamdan di minit-minit terakhir.

 

– UTUSAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");