Laporan Eksklusif

Integriti Terus Dipersoalkan, Negara Terancam Jika Anwar Terajui Negara

Keputusan memilih Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin bakal membuka ruang dan peluang kepada ancaman dari dalam dan luar negara bertapak di negara ini.

Ilmuan yang juga bekas rakan karib Anwar sejak 30 tahun lalu, Datuk Dr Sidek Baba, berkata beliau berjumpa dengan ramai tokoh dan orang perseorangan bagi menyiasat integriti mantan Timbalan Perdana Menteri itu dalam tempoh tiga tahun lalu.

“Ada sesuatu yang tidak kena pada integriti Anwar. Malaysia memerlukan tokoh pemimpin yang berintegriti apatah lagi negara ini sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum.

“Apabila integriti tercalar, mungkin orang luar boleh jadikan ini asas peras ugut, apatah lagi orang dalam, apa lagi rakan-rakan komponen dalam pakatan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur, hari ini.

Baru-baru ini, Dr Sidek mengejutkan banyak pihak apabila meninggalkan Anwar selepas lebih 30 tahun bersahabat tetapi beliau menjelaskan bahawa tindakannya itu dibuat atas tiga sebab iaitu masalah keruntuhan moral, sokongan kepada pluralisme agama serta kredibiliti Anwar.

Mengulas pertemuan selama 60 minit bersama Dr Mahathir, bekas Timbalan Rektor UIAM itu berkata, beliau ingin mendapatkan pencerahan berkaitan bekas rakan karibnya, iaitu Anwar yang bersama-sama beliau berjuang dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

“Saya diberitahu oleh Tun Mahathir bahawa beliau tahu tentang kisah Anwar sejak 1993 lagi tetapi hanya mengambil langkah pada 1997, sekaligus membuktikan beliau seorang yang teliti, tidak mudah disogok dengan maklumat untuk menjatuhan timbalannya ketika itu.

“Anwar berjaya tanam pengaruhnya dan sangkaan baik rakyat kepadanya luar biasa dan menjelaskannya kepada rakyat bukan mudah. Apabila saya berada dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 16 hari, saya juga didedahkan siapa Anwar sebenarnya. Tidak mudah sekelip mata saya terima,” katanya.

Sidek berkata beliau meninggalkan Anwar selepas tiga tahun membuat kajian dengan menemu bual 28 individu yang rapat dengan ketua pembangkang itu, serta membuat solat sunat Istikharah bagi memohon petunjuk.

Beliau katanya, meninggalkan Anwar selepas tiga tahun membuat kajian dengan menemubual 28 individu yang rapat dengan ketua pembangkang itu antaranya Ezam Mohd Noor, Anuar Ashaari dan Datuk Zulkifli Nordin selain membuat solat sunat istikharah bagi memohon petunjuk.

“Ada orang kata saya tidak mengenang budi kerana dilantik sebagai Timbalan Rektor tetapi isunya antara kebenaran dan kebatilan. Takkan kerana benda tidak benar berlaku saya harus membisu? Saya akan bertanggungjawab depan Allah nanti.

“Saya tidak tuduh dia (Anwar) liwat atau zina. Saya hanya sebut saya kaji bahawa kredibiliti Anwar tercabar.

“Sebab itu, saya berhak untuk tidak memaksa diri saya bersama dengan dia. Itu hak saya seperti orang lain yang memihak pada dia. Berlaku adillah pada saya,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau katanya, tidak berniat mengaibkan Anwar, sebaliknya sekadar mengambil tindakan yang perlu bagi menghentikan kemungkaran yang berlaku.

“Saya sedia bertemu dengan mana-mana pihak bagi menjelaskan pendirian ini dan saya berharap ia digunakan sebaik mungkin,” katanya yang turut membidas penulis blog yang menghentam tindakannya tanpa mendapatkan penjelasan daripadanya.

Kepada pihak yang cuba menyifatkan pendedahannya sebagai satu konspirasi, Sidek mencabar mereka mengemukakan bukti bagi melawan hujah yang ditampilkannya.

Sidek juga berkata, PAS perlu meneliti semula prinsip perjuangan asal parti itu yang dilihat sudah tergadai selepas bersama dalam pakatan pembangkang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");