Perak Hari Ini

Calon Berkelayakan, Berpengalaman Luas Antara Kriteria Bakal Exco Perak

Berkelayakan dan berpengalaman luas dalam pentadbiran antara kriteria yang dinilai bagi pemilihan barisan exco kerajaan negeri Perak yang dijangka diumumkan secara rasmi pada minggu ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata ketika ini, kerajaan negeri sudah di peringkat akhir pemilihan calon exco yang pastinya memiliki serta memenuhi kriteria yang ditetapkan itu.

“Memandangkan negeri Perak luas, maka kita juga perlu melihat faktor geografinya dengan meletakkan taburan exco di serata negeri iaitu di kawasan utara, selatan, barat, timur dan tengah negeri ini.

“Semua ini perlu diambil kira kerana ia penting dalam memudahkan urusan pentadbiran kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pesara Kerajaan Malaysia cawangan negeri Perak Ke-26 di Teluk Batik, dekat Lumut, hari ini.

Zambry yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak menegaskan, beliau sudah menemui Perdana Menteri berhubung pelantikan barisan exco Perak.

Katanya lagi, dalam masa terdekat ini, beliau akan menghadap Sultan Perak pula untuk memaklumkan barisan exco negeri bagi mendapat perkenan Baginda sebelum upacara angkat sumpah jawatan dapat dilaksanakan.

Ditanya mengenai rombakan exco, beliau mengakui perkara itu tidak dapat dielakkan yang mana menyaksikan pertambahan jumlah exco dan portfolio berbanding hanya enam pelantikan exco sebelum ini.

“Daripada enam exco sebelum ini, tiga daripadanya adalah muka lama tetapi tidak dapat dipastikan samada mereka ini tersenarai semula atau sebaliknya.

“Ada kekosongan yang perlu diisi, sekaligus membawa kepada rombakan untuk mewujudkan jawatan baru yang membabitkan gandingan muka lama dan baru,” tegasnya lagi.

Terdahulu, Zambry berkata, kerajaan mengiktiraf peranan dan sumbangan kakitangan awam dalam melicinkan pentadbiran di peringkat negeri dan Pusat.

Selepas politik, kakitangan awam merupakan kelompok atau kuasa kedua terpenting dalam sesebuah negara, katanya.

Pada majlis itu juga, Zambry mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada persatuan berkenaan bagi melaksanakan program yang dirancang sepanjang tahun ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");