Perak Hari Ini

Pembangkang Tidak Profesional Bantah Keputusan PRU-13

Barisan Nasional (BN) Perak menyifatkan tindakan pembangkang yang terus mempertikaikan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei lalu sebagai tidak profesional dalam konteks sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, memberitahu semua pihak terutamanya pembangkang perlu bersikap profesional dengan menerima keputusan PRU-13 yang menyaksikan BN sekali lagi diberi mandat oleh rakyat untuk menerajui Pusat dan negeri Perak.

“Tetapi malangnya, sejak seminggu lalu mereka mengeluarkan kenyataan berniat jahat yang boleh menyemarakkan perpecahan kaum serta menghangatkan suhu politik di Perak.

“Sebaik sahaja pilihan raya selesai, kita semua perlu beri tumpuan kepada tugas masing-masing secara profesional tetapi pembangkang cuba hidupkan api kebencian melalui laman blog yang memaparkan penipuan yang dilakukan oleh BN ketika PRU-13,” katanya kepada pemberita di Teluk Batik, dekat Lumut, hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, apabila PRU-13 sudah berakhir, maka sebarang keputusan yang dibuat oleh rakyat itu tidak kira baik atau sebaliknya, harus diterima dengan hati terbuka.

“Dalam tempoh seminggu ini juga, saya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen mengenai tindakan pembangkang ini kerana tidak mahu memburukkan lagi keadaan.

“Tindakan pembangkang yang menganjurkan perhimpunan bantah keputusan PRU-13 di Ipoh malam tadi bukan sahaja mendatangkan kesan tidak baik kepada negara tetapi juga negeri Perak sendiri.

“Oleh itu, saya ambil pendekatan berdiam diri kerana sekiranya kedua-dua pihak berbalas kenyataan, keadaan akan menjadi lebih panas dan seterusnya apa akan terjadi kepada negara dan negeri ini,” tambahnya lagi.

Namun begitu, ada segelintir pihak kata Zambry, sanggup sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat kuasa dan mencapai kemenangan.

“Perbuatan seperti ini langsung tidak bertanggungjawab kerana mereka tidak ambil peduli…yang penting bagi mereka, nak kuasa dan menang dengan apa cara sekali pun,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");