Program Basmi Kemiskinan

Peniaga Pasar Pagi Tanjung Rambutan Mohon Tapak Niaga Kekal

Sekumpulan peniaga pasar pagi di Jalan Majlis, dekat pekan Tanjung Rambutan mendesak pihak bertanggungjawab menyediakan tapak berniaga yang kekal untuk memudahkan mereka berniaga tanpa sebarang gangguan di masa akan datang.

Berniaga seawal jam 8 pagi hingga 12 tengah hari setiap hari, kumpulan peniaga itu mendakwa mereka terpaksa meniaga di atas lot parking dan di depan dereten kedai kerana tiada tempat berniaga khas disediakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) setakat ini.

Peniaga mainan kanak-kanak, Zakaria Othman, 66, berkata beliau berniaga di situ sejak tujuh bulan yang lalu dan setakat ini, sambutan yang diterima daripada pelanggan amat menggalakkan.

Namun, beliau katanya, ada mendengar rungutan pemilik kedai yang mendakwa perniagaan terjejas apabila peniaga pasar pagi membuka gerai di depan kedai mereka.

“Saya amat bersetuju sekiranya pihak berwajib menyediakan tapak berniaga yang kekal dan selesa untuk semua peniaga pasar pagi di pekan Tanjung Rambutan.

“Tetapi memandangkan kemudahan itu belum disediakan lagi, saya dan peniaga yang lain mengambil keputusan terus berniaga di bahu Jalan Majlis sekalipun sedia maklum ada segelintir pihak kurang senang dengan tindakan kami selama ini,” katanya lagi.

Sementara itu, rakannya, Mohd Nasardin Salim, 60an, pula menjelaskan suasana akan lebih meriah pada hujung minggu apabila jumlah peniaga bertambah berkali-kali ganda.

Beliau yang menjual tikar yang diimport dari Kalimantan, berkata setakat ini, belum pernah berlaku sebarang kejadian tidak diingini antara peniaga dengan pemilik rumah kedai di pekan Tanjung Rambutan.

Mohd Nasardin sendiri mengakui lokasi atau tapak perniagaannya tidak sesuai kerana terletak di depan deretan kedai, sekaligus menyukarkan pelanggan untuk meletak kenderaan apabila berkunjung ke premis berkenaan.

“Kami bersedia berpindah sekiranya ada tapak yang sesuai untuk berniaga dan saya berharap masalah peniaga pasar pagi di pekan Tanjung Rambutan akan mendapat perhatian pihak kerajaan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Peraktoday.com menerima aduan daripada orang awam mengenai operasi pasar pagi di Jalan Majlis yang didakwa menjejaskan kehidupan pemilik kedai di kawasan berkenaan.

Pengadu yang ingin dikenali sebagai Richard menegaskan, perniagaan pemilik kedai terjejas kerana tapak letak kereta dan motosikal digunakan oleh peniaga dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

“Saya juga dengar ada peniaga datang menghalau atau meminta tuan rumah kedai mengalihkan kenderaan mereka supaya peniaga dapat membuka gerai di bahu jalan raya,” katanya.

Tambahnya, pelanggan luar yang ingin membeli-belah di kedai sekitar pekan Tanjung Rambutan juga menyuarakan masalah sukar mendapat tempat parking berikutan peniaga membuka gerai di depan kedai dan di bahu jalan.

“Selain itu, orang awam juga menyatakan rasa takut kerana sejak kebelakangan ini ada individu mengutip duit tempat letak kereta secara haram,” jelas Richard lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");