shadow

PERAK TODAY 5

Tanpa mengira batasan agama, kaum dan fahaman politik, kerajaan negeri melalui Yayasan Bina Upaya (YBU) akan terus melipat-gandakan usahanya dalam membasmi isu kemiskinan membabitkan golongan keterbawahan di negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ismail Saffian, berkata pihaknya juga sentiasa turun padang untuk mengenalpasti dan membantu rakyat keterbawahan yang memerlukan bantuan asas seperti memiliki rumah sendiri yang sempurna.

Katanya, selain YBU, pemimpin di peringkat akar umbi juga boleh mendapatkan bantuan sama bagi pihak anak buah mereka melalui agensi kerajaan lain seperti Felcra dan Baitulmal.

“Adalah menjadi hasrat kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk menyelesaikan masalah rakyat keterbawahan tanpa mengira kaum dan fahaman politik.

“Walaupun kawasan DUN Kuala Sepetang dan Parlimen Bukit Gantang dimenangi parti pembangkang, ia bukan penghalang buat YBU untuk turun padang dan menyalurkan bantuan kepada mereka yang layak,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kunci rumah yang dibina agensi itu kepada penduduk Kampung Batu 9, dekat Trong, Ahmad Sabri Abd Rahim, 40.

Selain Ahmad Sabri, Ismail turut menyerahkan surat tawaran membina rumah baru yang dilengkapi dua bilik kepada warga emas dari Kampung Paya, dekat Kamunting, Othman Pin, 64.

Mengulas lanjut, Ismail menegaskan, usaha membasmi kemiskinan juga memerlukan sokongan dan kerjasama daripada anggota masyarakat dan pemimpin tempatan.

“Isu membasmi kemiskinan merentasi kaum, agama dan fahaman politik dan kita harap masyarakat serta pemimpin di peringkat akar umbi dapat menghubungi YBU dengan segera sekiranya mempunyai maklumat berkaitan penduduk yang berhadapan masalah ini.

“Berdasarkan kepada laporan yang diterima, kita akan cuba membantu sedaya mungkin tetapi harus diingat tidak semua kes layak menerima bantuan yang ditawarkan oleh YBU,” tegas Ismail lagi.

Dalam perkembangam berkaitan, beliau turut menggalakkan rakyat Perak yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan untuk memohon Skim Rumah Insan Amanjaya (SRIA).

Di bawah skim pinjaman tanda faedah itu, pemohon yang berjaya disyaratkan membayar RM217 sebulan dalam tempoh yang ditetapkan.

“SRIA antara projek terbaru yang kita perkenalkan untuk membantu golongan berpendapatan sekitar RM1,500 hingga RM3,00 sebulan untuk memiliki rumah sendiri,” katanya lagi.

Komen & Pendapat

Comments

  1. Ahli UMNO tiada kepentingan    

    Perak tidak akan dapat mengatasi kemiskinan jika pembangunan tidak diukur berdasarkan Indek Koefisien Gini dan BR1M hendaklah hanya diberikan kepada mereka yang tidak mempunyai lesen MEMANDU. Ini bermakna BR1M diagihkan melalui di pejabat JPJ bukan Pejabat Cukai Pendapatan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *