Berita Hari Ini

PIPC tak perlu penilaian alam sekitar menyeluruh

Datuk Ayub Rahmat

NUSAJAYA – Projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) tidak memerlukan Laporan Kajian Terperinci Penilaian Kesan Terhadap Alam Sekitar (DEIA) secara menyeluruh, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Dan Alam Sekitar Johor Datuk Ayub Rahmat.

Beliau berkata ini kerana pembangunannya dilaksanakan beberapa pelabur berbeza dan bukannya oleh satu penggerak projek dan dengan itu DEIA dikenakan kepada penggerak projek secara berasingan mengikut cadangan pembangunan.

“Walaupun pembangunan kompleks tersebut dikatakan bersepadu, pembangunan fizikalnya tidak dijalankan oleh satu pemaju, sebaliknya kawasan PIPC dipecahkan kepada beberapa penggerak projek untuk dibangunkan secara berasingan dan bukannya dibangunkan secara berfasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Mesyuarat Ketiga, Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor Ke-13 di Kota Iskandar di sini hari ini.

Sementara itu, Ayub berkata Pejabat Kesihatan Batu Pahat telah mengenal pasti satu lot tanah bagi pembinaan kinik kesihatan baharu bagi menggantikan Klinik Kesihatan Rengit yang sudah daif.

Menurut beliau, Klinik Kesihatan Rengit sudah berusia 50 tahun dan terletak di tapak seluas 0.8 hektar yang menyebabkan sebarang projek naik taraf tidak mungkin dapat dilakukan.

“Permohonan telah dibuat kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk cadangan pengambilan balik tanah (oleh Pihak Berkuasa Tempatan) yang mana telah dikemukakan di dalam Pelan Pelaksanaan 4, Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) (2015),” katanya.

Sementara menunggu pembinaan klinik yang baharu itu, beliau berkata penambahbaikan sentiasa dilakukan di Pejabat Kesihatan Batu Pahat dan kuarters Klinik Kesihatan Rengit bagi keselesaan pesakit dan petugas.

Mengenai status pembinaan Pusat Kesihatan Besar di Kampung Lubok, Mukim 1, Batu Pahat, katanya permohonan pembinaannya telah dibuat melalui RMK-9 dan RMK-10, namun tidak mendapat kelulusan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");