Membawang Hari Ini

Warisan Makyong

waris maklong

PERSEMBAHAN Makyong Kesaktian Anak Raja Gondang mempunyai tarikan tersendiri membawa penonton ke dunia penuh imaginasi dan warna-warni.

Selain menghiburkan penonton, teater ini turut menyelitkan elemen lawak spontan yang penuh dengan sindiran.

Dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 29 November hingga 1 Disember lalu, nyata ia memberikan pengalaman baharu buat penulis sendiri.

Teater ini membariskan pelakon terkenal tanah air yang terdiri daripada Rosnan Rahman, Datin Sofea Jane, Vanidah Imran, Sabri Yunus dan Isey Fazlisham.

Dalam pada itu, jalan cerita yang berkisarkan tentang Anak Raja Gondang yang dipetik daripada naskhah Batak Raja Gondang ini dilihat bukan sekadar berhibur malah memberi banyak pengajaran yang tersirat.

Persembahan pentas dimulakan dengan tarian Rebab tepat jam 9 malam selama 20 minit oleh Rosnan Rahman yang memainkan watak sebagai Pakyung.

Selain tarian, nyanyian Rosnan wajar dipuji kerana kefasihannya bertutur dalam dialek Kelantan dengan lancar walaupun bukan berasal dari Negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Persembahan mereka sangat memukau penonton kerana bijak menggunakan peralatan dan props suasana pada zaman bangsawan dulu.

Ia menaikkan suasana dan mood penonton seolah-olah turut berada di zaman pemerintahan kesultanan.

Penggunaan pencahayaan juga menceriakan suasana tatkala penari Artistana Istana Budaya menyanyi dan menari mengikut rentak muzik tradisional.

Kemudian, kemunculan Peran Muda Negeri Batu Sebutir yang dilakonkan oleh Sabri menggamatkan suasana pentas dengan lawak jenakanya yang mencuit hati.

Dalam babak tersebut, Sabri sempat menyakat Rosnan dengan lawak spontannya sehingga suasana dalam panggung dipenuhi ketawa penonton.

Tarikan lain dalam pementasan ini, kemunculan pelakon Vanidah dan Sofia sebagai Puteri Bongsu dan Puteri Sulong membuatkan penonton terus menghayati persembahan ini sehingga ke akhir.

Secara keseluruhan, mak yong ini mempunyai jalan cerita yang menarik namun ia agak panjang sehingga mengambil masa tiga jam dipersembahkan.

Namun ia harus diperbaiki agar pelakon tidak terlalu meleret dengan skrip mereka dan beberapa babak dipotong.

Sabri, Isey curi tumpuan

Gandingan sifu dan anak buah (Bintang Mencari Bintang), Sabri Yunus dan Isey Fazlisham nyata memberi suasana ceria dalam pementasan ini.

Seperti yang kita sedia maklum, persembahan sebegini mungkin mendapat perhatian golongan tertentu sahaja apatah lagi menggunakan dialek Kelantan.

Namun, kedua mereka berjaya menaikkan mood penonton dengan bahasa badan dan lawak spontan yang menghiburkan.

Berperanan sebagai Peran Muda di Negeri Batu Sebutir, Sabri berkata semuanya berlaku secara spontan dan tiada skrip dalam persembahan tersebut.

“Saya hanya bertindak mengikut keadaan dan bukan sengaja mengenakan Rosnan ketika persembahan berlangsung.

“Lagipun watak ini (Peran Muda) harus diperkembangkan agar penonton tidak bosan dengan lawak yang terlalu terikat pada skrip,” katanya ketika ditemui selepas tamat pementasan itu.

Menyingkap sejarah anak Kelahiran Kota Bharu Kelantan itu, penglibatan Sabri dalam teater bermula sejak 1994 lagi ketika berkhidmat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Selain teater ini, dia turut terlibat dalam pementasan Wangi Jadi Saksi, Patah Sayap Terbang Jua, Raja Lawak, Tok Selampit, Pentas
Opera dan banyak lagi.

Maka, tidak hairanlah Sabri Yunus begitu bersahaja dalam persembahannya walaupun sempat berlatih dalam masa yang singkat.

Manakala bagi Isey pula, anak kelahiran Kelantan ini mempunyai latar belakang dalam persembahan teater sejak belajar di Universiti Teknolohi Mara (UiTM).

Berpengalaman luas dalam bidang tersebut, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif itu mula terlibat dalam persembahan dikir barat sejak berumur 12 tahun lagi.

Memegang watak sebagai Peran Muda Negeri Apung Berhanyut, Isey turut mencuri tumpuan penonton dengan lawaknya.

“Biarpun sekecil mana watak itu, kita harus enjoy dan tenang agar perasaan gemuruh dapat dikurangkan.

“Mungkin sudah biasa berlaku teater, tapi saya tetap seronok dengan setiap apa yang dilakukan agar persembahan berjalan dengan lancar,” katanya.

Pendekkan masa teater – Fatimah

Sering dihidangkan dengan pementasan muzikal, nyata Makyong memberi nafas baru dalam industri seni tempatan.

Biarpun persembahan ini berlangsung lebih lama dari masa yang ditetapkan namun jalan cerita yang kemas dan teratur dapat menutup kelemahan pementasan ini.

Menurut pengarahnya, Fatimah Abdullah berkata, secara keseluruhan persembahan malam pratonton itu berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.

“Saya sangat berpuas hati dengan persembahan yang dilakukan oleh semua pelakon pada malam ini.

“Segala latihan yang dilakukan selama tiga minggu lebih dipraktikkan dengan baik oleh kesemua pelakon,” katanya.

Tambahnya, terdapat beberapa babak perlu dipotong dan diperkemas supaya ia tidak melebihi masa dua jam.

Katanya, penambahan masa tersebut berlaku secara tidak sengaja terutamanya ketika diawal persembahan yang mengambil masa hampir setengah jam.

“Ia tidak dapat dielakkan pelakon kerana mereka perlu mengikut rentak muzik Kumpulan Istamuzika.

“Malah ada beberapa babak yang agak panjang kerana penambahan ‘adlip’ yang dilakukan pelakon,” ujarnya.

Sedikit mengenai Fatimah, dia merupakan adik ipar kepada Seniman Negara Allahyarhamah Khatijah Awang.

Manakala bapanya, Abdullah Awang merupakan pemain utama persembahan Makyung dan turut membantu pengkaji budaya Tan Sri Mubin Sheppard di dalam menyediakan Siri Kajian Cerita Makyung.

Pada tahun 1969, dia turut terlibat di dalam penggambaran Makyung bagi kanak-kanak negeri Kelantan dalam cerita Anak Raja Gondang bersama kumpulan Mak Aji.

Mulai usia 10 tahun, Fatimah mula mengikuti persembahan Makyung termasuklah pada 1972 bersama kumpulan Sri Temenggung mengadakan persembahan di Istana Kota Lama dalam cerita Raja Indera Dewa.

Baru-baru ini beliau telah terlibat sebagai Pelakon dan mengarah dalam Program Rakaman Semula Cerita-Cerita Makyong Untuk
Dokumentasi Unesco di Pura Tanjung Sabtu, Manir, Kuala Terengganu.

Kini beliau dilantik sebagi tenaga pengajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) bagi kursus amali Makyung.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");