Perak Hari Ini

Perak Lulus Pelaburan RM2.361 Bilion Pada 2013

PERAKTODAY3Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-13 yang bersidang hari ini dimaklumkan bahawa negeri itu meluluskan pelaburan bernilai RM2.361 bilion pada 2013 dengan RM1.49 bilion daripadanya adalah pelaburan langsung asing manakala bakinya iaitu RM871.7 juta pula membabitkan pelaburan domestik.

Bagi tempoh sama juga, pelabur sedia ada turut mempelbagaikan operasi di peringkat pelaburan langsung asing dan domestik dengan masing-masing merekodkan pelaburan bernilai RM1.1 bilion dan RM724.4 juta.

Dalam titah perasmian pembukaan sidang DUN di Ipoh, hari ini, Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah turut memaklumkan hasil kerajaan Perak meningkat kepada RM880.93 juta pada tahun 2013, yakni menokok 1.5 peratus berbanding hasil perolehan pada tahun sebelumnya.

“Kerajaan Beta akan terus terus melaksanakan pelbagai program pembangunan yang mana sejumlah RM338.98 juta diperuntukkan bagi maksud pembangunan tahun ini, meningkat sebanyak 5.2 peratus berbanding peruntukan pembangunan yang diluluskan bagi tahun 2013.

“Kemudahan-kemudahan prasarana merupakan keperluan asas untuk melonjakkan pembangunan negeri dan RM37.99 juta dibelanjakan pada tahun 2013 untuk projek jalan raya dan jambatan. Indeks Pembangunan Jalan Raya di negeri Perak meningkat daripada 0.84 kepada 1.3 dan pada 20 Disember lalu, Kerajaan Persekutuan telah memuktamadkan perjanjian konsesi bagi pembinaan 316 KM Lebuhraya Persisiran Pantai Barat dari Banting-Changkat Jering.

“Sepanjang 172 KM lebuhraya itu akan merentasi negeri Perak, mempunyai 11 persimpangan bertingkat dan plaza tol,” titah baginda lagi.

Sidang dewan juga diberitahu PLUS Express Highway sedang menaiktaraf persimpangan bertingkat dan plaza tol Kuala Kangsar dan projek itu dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2014.

Selain itu, PLUS juga melaksanakan projek persimpangan bertingkat Alor Pongsu yang dijadualkan siap pada penghujung tahun 2016 dan kerajaan Perak juga turut berusaha mendapatkan peruntukan berjumlah RM90 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan kerja pelebaran jalan sepanjang 12 KM dari Tol Plaza Alor Pongsu ke Bagan Serai.

Seterusnya, Raja Nazrin bertitah, memandangkan air adalah sumber penting kehidupan, Lembaga Air Perak wajar memperkenalkan dimensi baru program tanggungjawab sosial dengan menganjurkan program pendidikan penggunaan air secara berhemah, serta program mendidik rakyat untuk tidak melakukan pencemaran terhadap sumber air serta tidak melakukan pembaziran.

“Segala persiapan wajib dilakukan demi menjamin sumber air dari segi kualiti serta kuantiti tidak terjejas untuk menghadapi kemungkinan berlakunya kemarau secara berpanjangan.

“Langkah jangka panjang perlu dirintis bagi memastikan bekalan air terus terjamin melalui inisiatif-inisiatif mengenalpasti punca baru dan penggunaan air bawah tanah telah mula diterokai.

“Kaedah baru, Sistem Penapisan Tebing Sungai sebagai sumber alternatif telah dilaksanakan di Loji Rawatan Air Kota Lama Kiri yang mana projek ini berupaya menghasilkan 25 juta liter sumber air mentah sehari,” titah baginda lagi.

Sidang dewan juga dimaklumkan Kerajaan Perak sedang berusaha memastikan perumahan mampu milik dibina dengan bilangan yang mencukupi.

Sebanyak 240 unit Perumahan Rakyat Simpang Perdana di Taiping telah berjaya disiapkan manakala 100 unit Perumahan Rakyat di Daerah Kerian dan 150 unit di Hilir Perak turut dilancarkan pada tahun 2013.

Selain itu, RM24.4 juta disediakan bagi Projek Penempatan Semula Nelayan di Pulau Pangkor untuk membina 139 unit pangsapuri di Teluk Baru dan 39 unit sama di Pasir Bogak.

Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak telah dipertanggungjawabkan untuk membangunkan 10,000 unit rumah mampu milik untuk dapat disiapkan menjelang tahun 2018.

“Perumahan adalah keperluan asas dan menyediakan rumah untuk rakyat adalah satu tuntutan fardu kifayah yang wajib dipenuhi oleh kerajaan.

“Ketika ini, berlaku jurang di antara rumah yang dibina oleh kebanyakan pemaju dengan rumah yang mampu dibeli oleh majoriti rakyat yang sangat memerlukannya. Oleh itu, amatlah perlu dirangka dasar
perumahan yang dapat mengimbangkan kepentingan perniagaan dengan keperluan sosial,” titah Raja Nazrin lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");