Membawang Hari Ini

Balistik balik modal

rosyam

Meskipun ia percubaan sulung pelakon dan penerbit terkenal Datuk Rosyam Nor menerbitkan filem, ia nyata tidak menghampakan apabila Balistik yang diterbitkan syarikatnya, RK Screen Sdn Bhd mendapat sambutan baik daripada penonton.

Di kala industri perfileman Melayu kini mengalami masalah ‘kesuraman’, Balistik arahan Silver Yee dan diterbitkan secara usaha sama dengan produksi Asia Tropical Film Sdn Bhd (ATF) setidak-tidaknya menjadi filem pembuka tirai 2014 yang berjaya dengan kutipan sebanyak RM2.5 juta.

Biarpun jumlah itu sekadar balik modal untuk kos pembikinan filem berkenaan sebanyak RM2.5 juta juga, Rosyam sangat bersyukur dan menganggap dirinya bernasib baik.

“Selepas dicampur jumlah kutipan panggung dan juga penjualan hak tayangan kepada stesen televisyen, apa yang boleh dikatakan secara keseluruhan Balistik berjaya mencatat rekod baik dari segi pulangan.

“Memandangkan ia juga filem Melayu yang ditayang pada awal 2014, saya gembira Balistik masih mampu menarik perhatian penonton untuk ke panggung. Apatah lagi, dalam situasi jumlah kutipan filem kini jatuh merudum.

“Jadi, terima kasih tak terhingga kepada penonton yang yakin dengan hasil dan kualiti filem ini hingga mendorong mereka ke panggung untuk memberi sokongan,” katanya turut memaklumkan dalam perancangan menerbitkan Balistik 2.

Ditemui pada majlis makan tengah hari meraikan lima orang pemenang bertuah kuiz Balistik Harian Metro di Pullman Putrajaya, Rabu lalu, Rosyam hadir dengan dua lagi pelakon utama, Rita Rudaini dan Adi Putra.

Pemenang terpilih diraikan ialah Marziah Ab Manaf, 29, Mohamed Noor Hasbullah, 41, Rosmady Musa, 41, Azlinda Remie Zainal Azhar, 37, dan Fatehi Kasim, 30. Selain berpeluang duduk makan semeja bersama pelakon terbabit, pemenang turut dibawa menaiki kereta mewah jenis Aston Martin Rapide, McLaren dan Aston Martin DB9 mengelilingi Putrajaya.

Kuiz tonton dan menang filem Balistik di Harian Metro yang bermula pada 9 hingga 24 Januari lalu itu cukup mendapat sambutan hangat.

Rosyam berkata, pemilihan pemenang dibuat berdasarkan slogan paling kreatif.

Mengulas lanjut mengenai Balistik 2 yang kini dalam proses menyiapkan skrip, hero filem Melayu berusia 47 tahun ini berkata, Silver kekal sebagai pengarah serta pelakon asal iaitu beliau, Rita, Adi dan Rykarl Iskandar.

Tambah Rosyam, seiring dengan genre aksi drama yang dimuatkan dalam filem Balistik 2 nanti, ia akan dipadatkan dengan jalan cerita membabitkan 50 peratus aksi dan 50 peratus drama demi memenuhi kepuasan penonton.

Tidak gentar harus mengeluarkan bajet pembikinan yang besar dan mungkin mencecah RM2.5 juta juga, Rosyam berkata, apa dibelanjakan itu baginya amat memadai untuk mendapatkan hasil filem berkesan serta berkualiti.

Bekerjasama dengan pengarah, pelakon sama

Apabila membabitkan produksi milik Rosyam, sama ada dalam pembikinan drama mahu pun filem, bagai sudah mampu diagak siapa pengarah dan barisan pelakon yang akan menerajuinya yang kebiasaannya dalam kalangan penggiat seni yang sama.

Bukan saja diterajui beliau sendiri, nama seperti Rita, Adi, Liyana Jasmay, Silver mahu pun Bade Azmi sudah sinonim dengannya.

Mengulas mengenainya, Rosyam berkata, beliau memang selesa kerja dengan orang yang sama.

“Sama suka bekerja dengan pelakon yang ada pengalaman seperti Adi, Rita dan Liyana. Begitu juga pengarah seperti Bade dan Silver. Pengalaman mereka nyata memudahkan saya terutama dalam memahami kehendak karakter.

“Selain itu, yang pasti juga keserasian yang wujud di antara kami ketika bekerja. Ia sangat penting bagi menghasilkan lakonan yang bagus dan berkesan,” katanya teruja menunggu tayangan filem baru Isyarat Cinta.

Sebagai hasil kerja terbaru diterbitkan syarikatnya, Isyarat Cinta yang sudah siap penggambarannya menggandingkan Adi, Liyana dan Fizo Omar sebagai bintang utama. Filem memaparkan kisah cinta ini diarahkan oleh Bade.

Rosyam berkata, beliau teruja menunggu tayangan filem itu di pawagam kerana ia akan membuatkan penonton mengingat semula fenomena pernah dicetuskan Ombak Rindu.

Katanya, Isyarat Cinta adalah sebuah kisah sangat menarik.

Mengakui yakin Isyarat Cinta akan menerima sambutan baik penonton filem Melayu seperti diraih Balistik, Rosyam berkata, apa yang pasti dan paling utama karya dihasilkan perlu mempunyai jalan cerita bagus.

Ditambah juga dengan sentuhan pengarah yang kreatif dan barisan pelakon mantap, sudah tentu hasilnya takkan diragui penonton.

Menurut anak jati ibu kota ini, penonton filem kini amat teliti dan menyokong karya yang bermutu.

-METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");