Membawang Hari Ini

Gementar tunggu reaksi penonton

nur risteena

Setahun terbabit dalam lakonan adalah tempoh yang singkat dan banyak perkara yang harus dipelajari bagi seseorang pelakon dalam memperbaiki mutu lakonan mereka.

Meskipun ada yang mengambil masa untuk dikenali, namun ia tidak pada pelakon Nur Risteena Munim yang semakin dikenali dalam tempoh waktu berkenaan.

Malah dapat dilihat wajahnya semakin kerap menghiasi kaca televisyen di samping diberi peluang memegang peranan utama.

Antara drama lakonannya yang dilihat memberi kesan kepada penonton ialah Menjinak Ombak dan Playboy Itu Suami Aku yang disiarkan di TV3.

Tidak hanya memegang watak utama di dalam drama saja, pelakon yang mesra dengan panggilan Risteena ini turut disunting memegang watak utama dalam filem terbaru terbitan Grand Brilliance (GB) berjudul Kelip-Kelip.

Menerusi filem ini, Risteena digandingkan bersama pelakon kacak yang menjadi kegilaan ramai, Keith Foo.

Mengakui ini adalah filem pertama dia memegang watak utama, Risteena merasa gementar menanti maklum balas penonton.

“Ini adalah filem pertama saya memegang peranan utama. Walaupun pernah menjadi pelakon utama dalam drama ia tidak sama kerana filem berskala besar begini memerlukan banyak teknik yang mungkin tidak pernah saya lakukan dalam drama.

“Walaupun hanya memegang watak gadis kampung biasa, saya perlu bijak memainkan peranan supaya watak yang dijayakan itu sampai kepada penonton. Lagipun saya masih sangat baru dalam bidang lakonan banyak lagi perkara yang harus saya pelajari.

“Dua minggu sebelum melakukan penggambaran saya dan pelakon yang lain juga kerap mengadakan latihan bagi menghidupkan watak masing-masing,” kata pelakon berasal dari Pulau Pinang itu.


Malu dengan Keith Foo

Pertama kali digandingkan bersama Keith Foo, Risteena berkata, pada mulanya dia malu dan segan.

Ini kerana dia juga adalah salah seorang peminat Keith dan suka menonton lakonan jejaka kacukan Cina-India itu.

“Selepas kerap menjalani latihan sebelum penggambaran bermula, baru saya tahu sebenarnya Keith adalah seorang yang peramah. Lama kelamaan perasaan segan itu hilang dengan sendiri.

“Saya senang bekerja dengan Keith, malah dia seorang yang bijak mencari keserasian kami untuk menghidupkan watak masing-masing dan dia memberikan saya banyak tunjuk ajar,” katanya.

Melalui filem ini turut diselitkan babak romantik yang membabitkan Risteena bersama Keith, meskipun gusar dengan maklum balas peminat, Risteena sudah bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan.

“Saya hanya melakukan kerja dengan profesional. Semua adegan yang dilakukan tidak berlebih-lebihan dan hanya perlu saja bagi menjaga sensitiviti masyarakat kita. Ada antara adegan romantik seperti berpegangan tangan dan saya rasakan perkara itu tidak akan menimbulkan sebarang masalah,” katanya yang mahu fokus dalam lakonan.

Selain Keith dan Risteena, filem Kelip-Kelip turut membabitkan pelakon lain antaranya Azad Jasmin, Fara Fauzana, Bront Palarae, Zarina Zainuddin dan ramai lagi.

Selain, filem Kelip-Kelip, Risteena juga berdebar menantikan filem pertamanya sebagai watak pembantu berjudul Mamak Cupcakes yang dijangka akan ditayangkan pada Ogos ini.

Dia juga turut sibuk berlakon beberapa drama yang akan disiarkan di TV3, TV9 dan RTM tidak lama lagi.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");