shadow

ir nawawi

ALOR SETAR – Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad mendakwa akaun Facebook (FB) miliknya diceroboh oleh individu tidak bertanggungjawab sekali gus memuat naik status yang dikatakan berbaur fitnah terhadap ibu calon DAP PRK Teluk Intan, Yammy Abd Samat, 59.

Nawawi ketika dihubungi berkata, sepanjang minggu lalu beliau berada di China dan tidak mengakses akaun Facebook kerana ia disekat di negara itu.

“Sepanjang 26 Mei hingga 2 Jun saya berada di China, jadi sepanjang tempoh itu juga saya tak buka Facebook. Bila balik semalam (kelmarin)… saya terkejut jugalah sebab gambar profil Facebook saya pun ditukar.

“Sebelum ini saya hanya letak gambar sendiri sebagai gambar profil, tiba-tiba ditukar dengan gambar kerbau.

“Saya tak pasti ini kerja siapa… sebelum itu saya sudah tukar password dan tiada siapa pun tahu password Facebook saya,” katanya.

Dalam pada itu ditanya mengenai tindakan undang-undang yang akan diambil oleh Yammy, beliau enggan memberi sebarang komen kerana akan berbincang perkara itu dengan peguam terlebih dahulu.

Bagaimanapun katanya, nama individu yang tercatat pada status Facebooknya itu dengan nama Yammy adalah dua individu berbeza.

“Nama yang ditulis pada Facebook saya itu Yammy Samat, manakala nama ibu Dyana Yammy Abd Samat,” katanya yang mengikuti rombongan Perdana Menteri ke China baru-baru ini.

Semalam, Sinar Harian melaporkan, Yammy bertegas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memfitnahnya.

Beliau menyuarakan hasrat itu selepas tersebar pelbagai maklumat di laman sosial berhubung kontrak, aset dan kekayaan yang didakwa dimilikinya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *