Berita Hari Ini

DCA diarah percepat proses analisis data MH17

SEPANG – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai telah mengarahkan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mempercepat proses menganalisis data dikumpul berkaitan nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, untuk membawa dalang yang menembak jatuh pesawat itu ke muka pengadilan.

Beliau berkata, berdasarkan laporan awal dikeluarkan Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) mengesahkan pesawat MH17 berkecai di udara selepas mengalami kerosakan struktur akibat ditembusi objek berkuasa tinggi dari luar pesawat.

Sehubungan itu, beliau berkata fakta-fakta dalam laporan awal termasuk rakaman percakapan kokpit dan data pesawat merupakan dokumen penting yang perlu dianalisis dan ‘membuat rumusan daripadanya’.

“Penyiasatan membabitkan dua bahagian – dari segi data teknikal dan jenayah. Saya perlu lihat semua ini, sebagai menteri bertanggungjawab, saya perlu pastikan penyiasatan dijalankan secara terperinci.

“Data teknikal dan jenayah yang dikumpul perlu dianalisis agar dapat mencari perkara sebenar, siapa yang menembak jatuh pesawat kita dan membawa mereka ke muka pengadilan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi Pesawat MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL di sini hari ini.

Selain laporan bedah siasat dan patologi yang perlu dianalisis, Tiong Lai berkata, kajian forensik terhadap serpihan pesawat juga perlu dilakukan.

“Kami perlu ambil serpihan dan kaji bagaimana pesawat itu pecah dan ada beberapa bahagian yang cair, jadi apa puncanya. Saya fikir banyak data perlu dianalisis… jika dapat, kami berharap untuk membawa pulang serpihan berkenaan,” katanya.

Tiong Lai berkata, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail juga akan pergi ke Ukraine untuk mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan di sana.

“Siasatan masih diteruskan. Mereka telah keluar masuk (Ukraine). Lebih banyak perbincangan akan diadakan berhubung kes secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata pasukan Malaysia juga masih menunggu kebenaran dari badan antarabangsa untuk memasuki lokasi nahas di timur Ukraine untuk mencari baki jenazah sekiranya ada dan juga serpihan pesawat.

Tiong Lai berkata, tarikh untuk membawa pulang lima lagi jenazah rakyat Malaysia yang sudah dikenal pasti belum dimuktamadkan kerana masih menunggu kelulusan kerajaan Belanda.

Setakat hari ini, 36 jenazah warga Malaysia telah dibawa balik ke tanah air secara berperingkat sejak 22 Ogos.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai. Terdapat 43 warga Malaysia dalam pesawat itu. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");