Membawang Hari Ini

Demi kepuasan pendengar

Nadi bagi stesen radio pastinya golongan pendengar. Jadi, selain peranan barisan penyampai yang bijak berceloteh melayani kerenah pendengar, sudah tentu pemilihan lagu terbaik juga menjadi keutamaan.

Itu pendekatan dibuat tiga rangkaian stesen diminati ramai di bawah Astro Radio, Era FM, Sinar FM dan THR Gegar. Memiliki sasaran kelompok pendengar tersendiri, masing-masing bijak mengatur strategi.

Justeru, individu yang bertanggungjawab memastikan pengisian siaran berkesan untuk setiap stesen radio ini ialah pengurus kandungan. Ternyata, ia bukan tugasan boleh dipandang ringan dan dianggap mudah.

Pada sesi fotografi diaturkan baru-baru ini, secara tidak langsung dapat berkongsi cabaran digalas tiga pengurus kandungan yang berperanan sebagai ‘kepala’ atau pengemudi utama stesen dipimpin.

Mereka bertangungjawab itu iaitu Pengurus Kandungan Era FM, Nazri Noran diikuti Pengurus Kandungan Sinar FM Rizal Sahimy dan Pengurus Kandungan THR Gegar, Azaari Atan.

Nazri yang sudah lima tahun memimpin Era FM berkata, pencapaian diraih stesen itu sebagai pilihan nombor satu kebanyakan pendengar dan peminat muzik tempatan adalah perkara cukup membanggakannya.

“Lebih-lebih lagi segmen JoHaRa Pagi ERA yang membariskan penyampai popular seperti Johan, Haniff dan Ray yang berjaya menambat hati pendengar sehingga mencatat rating memuaskan sebanyak 2.7 juta orang setiap pagi.

“Apapun, secara purata rating pendengar dicatat Era FM dalam seminggu ialah 5.2 juta orang. Ditambah, sasaran pendengar juga lebih tertumpu kepada golongan muda. Maka, pemilihan lagu terkini menjadi keutamaan,” katanya.

Mengulas juga soal pemilihan lagu, Nazri berkata, ia dilakukan oleh pihak pengurusan stesen dengan gandingan kerjasama kelompok pendengar Era FM sendiri. Katanya, stesen radio itu sangat mementingkan kepuasan pendengar.

Menurut Nazri, sebagai stesen radio ‘berjiwa muda’ dia berusaha untuk sentiasa peka dengan kemahuan pendengar. Oleh itu, dia juga terbuka menerima sebarang cadangan ataupun kritikan daripada pendengar.

Jika Nazri lebih terarah untuk memastikan kepuasan pendengar dalam kalangan golongan muda, cabaran digalas Rizal agak hebat apabila kelompok pendengar Sinar FM pula lebih berusia dan berpengalaman dalam hidup.

Mengetengahkan lagu retro dan nostalgia untuk pendengarnya, Rizal berkata, berada pada tempat kedua selepas Era FM, ia pencapaian besar Sinar FM. Setakat ini, rating purata pendengar Sinar FM seminggu ialah 3.5 juta orang.

“Bahkan, bagi slot Sinar Pagi saja yang dikendalikan Salih Yaacob (SY), Kak Engku Raja Azura (KE) dan Kharil Rashid (Krill) pula mencatat rating dua juta penonton. Pada saya, sambutan diterima ini sangat baik.

“Apatah lagi, menyedari sasaran kelompok pendengar Sinar FM yang menjurus pada golongan berusia atau warga emas, pasti lagu nostalgia dan malar segar dipilih perlu tepat serta memenuhi cita rasa mereka.

“Memandangkan usia saya masih muda berbading penyampai Sinar FM sendiri, maka pemilihan lagu dilakukan secara berpasukan. Saya lebih gemar berbincang dan berkongsi pendapat untuk keputusan terbaik,” katanya.

Tidak pernah menganggap Era FM sebagai pesaing utama, Rizal berkata, setiap stesen radio ada kelebihan masing-masing. Jadi, bagi memastikan diterima baik pendengar, sudah pasti kepuasan cita rasa diutamakan.


THR Gegar jadi tarikan utama kelompok pendengar di pantai timur

Berbanding Era FM dan Sinar FM, stesen THR Gegar pula dilihat lebih mendapat tempat di hati pendengar pantai timur iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu. Kini THR Gegar nombor satu di pantai timur.

Pengurus Kandungannya, Azaari berkata, pemilihan lagu-lagu dimuatkan THR Gegar untuk kelompok peminatnya menjurus pada variasi lagu pelbagai merangkumi dialek negeri, retro dan terkini.

“Apapun, sebagai stesen nombor satu pilihan pendengar di pantai timur, THR Gegar berjaya mencatat rating melebihi 500,000 pendengar hanya di pantai timur.

“Bahkan, kelompok pendengar yang berusia 18 hingga 39 tahun ini dilihat memilih THR Gegar kerana tertarik dengan rangkuman lagu diketengahkan.

“Variasi lagu yang pelbagai, selain kami juga memberi peluang kepada penyanyi lagu dialek negeri untuk mengetengahkan karya seni mereka dan cukup mendapat sambutan hangat.

“Selain itu, membariskan penyampai berpengalaman dan berkaliber yang dekat di hati pendengar kami di pantai timur membuatkan setiap program diatur berjaya dan disambut baik,” katanya.

Menurut Azaari, sokongan padu diterima barisan penyampai THR Gegar dalam kalangan masyarakat pantai timur juga di luar dugaan. Katanya, di pantai timur, kemunculan penyampai dalam program dianjurkan amat dialu-alukan dan sudah memadai.

Mengulas mengenai perancangan program menarik THR Gegar untuk pendengarnya di pantai timur pada Oktober ini, Azaari berkata, THR Gegar akan meraikan sambutan Aidiladha dengan meriah pada 5 Oktober di Kota Bharu, Kelantan.

Katanya ini diikuti penganjuran konsert THR Gegar sempena acara Planet Gempak Astro di Terengganu pada 10 Oktober dan pada 25 Oktober pula acara Kuliah Ilmu THR Gegar pula, berlangsung di Kuantan, Pahang.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");