Membawang Hari Ini

Ekspresi patriotik Aman, Amar

Tanggal 16 September lalu, tahun ke-51 negara menyambut Hari Malaysia. Seperti sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 lalu, rakyat Malaysia mempunyai cara sendiri menyambutnya.

Bagi dua artis muda, Aman Nassim, 24, dan Amar Asyraf, 27, mereka bangga dapat melakukan ekspresi seni lukisan mural bersama golongan muda lain di Padang Majlis Perbandaran Seremban, Negeri Sembilan, Selasa lalu.

Amar yang baru dua bulan bergelar bapa kepada bayi lelaki comel, Amar Taufiq, menyifatkan aktiviti melukis juga salah satu cabang seni yang wajar diberi perhatian, tidak hanya di zaman persekolahan.

Katanya, dia jarang menyambut hari bersejarah negara dengan cara besar-besaran tapi setiap kali Hari Merdeka atau Hari Malaysia, dia akan pastikan Jalur Gemilang dikibarkan di kenderaan atau di rumahnya.

“Orang mungkin kata saya tidak patriotik tapi itu sahaja cara buat masa ini yang dilihat relevan dengan sambutan hari bersejarah negara.

“Apabila ada aktiviti melukis mural seperti hari ini, ia bagus sebab sekurang-kurangnya menyemarakkan semangat cintakan negara.

“Aktiviti ini satu cara untuk memupuk semangat patriotisme dengan cara orang muda kerana seni dan orang muda tidak boleh dipisahkan,” katanya.

Pelakon kelahiran Masjid Tanah, Melaka ini menyifatkan acara sambutan Hari Malaysia peringkat negeri seperti diadakan di Seremban, Negeri Sembilan membolehkan masyarakat setempat berkumpul dengan suasana harmoni.

Katanya, berbanding selalunya apabila diadakan di peringkat nasional di Kuala Lumpur, rakyat dari negeri lain hanya mampu menyaksikannya melalui televisyen sekiranya tiada sambutan seperti itu di negeri mereka.

“Apabila ada acara seperti ini, masyarakat setempat juga dapat memainkan peranan masing-masing dari tempat sendiri,” katanya.

Bagi Aman, sebagai insan seni dia juga mempunyai hak mengekspresikan kecintaan pada negara. Jika sambutan merdeka lalu kita mengibarkan Jalur Gemilang dan menyertai program kemerdekaan, untuk Hari Malaysia kali ini dia mencuba kelainan.

Katanya, dia tidak melepaskan peluang berkongsi rasa cinta pada negara dengan menyertai acara seni mural ini apabila kebetulan terbabit dalam acara Nogori Fest sempena sambutan Hari Malaysia peringkat Negeri Sembilan.

“Selalunya aktiviti melukis mural dilakukan pada zaman sekolah sahaja tapi sebaik meningkat dewasa, aktiviti itu apabila diekspresi ke dinding bangunan awam, ia dianggap vandalisme.

“Malah pelukis mural jalanan kadangkala disalah tafsir sebagai perosak pandangan. Untuk menyampaikan hasrat patriotik, ada cara yang lebih sihat. Lagipun saya lihat masa kini, golongan muda sudah banyak diberi ruang ‘menconteng’ di tempat yang lebih diterima ramai,” katanya.

Aman melihat lukisan mural adalah cabang seni yang boleh disertai pelbagai golongan dan tidak semestinya golongan pelukis profesional atau artis.

“Ia juga satu contoh aktiviti yang dapat menarik minat peminat melakukan aktiviti bersama artis disamping meraikan hari bersejarah negara,” katanya.

Terjun ke bidang nyanyian

Aman Nassim atau nama sebenar, Abdul Rahman Nassim bermula sebagai pelakon empat tahun lalu tapi pertengahan tahun ini, anak saudara penyanyi popular 90-an, Salwa Abdul Rahman dilamar komposer terkenal Ly dan Baiduri sebagai penyanyi.

Katanya, peluang itu datang tanpa dirancang apabila ibu saudaranya sekadar cakap-cakap kosong mengenai kemampuannya menyanyi kepada Ly dan Baiduri.

Aman tidak menyangka dari cakap-cakap kosong menjadi serius apabila mereka memintanya datang ke studio untuk mendengar vokalnya.

“Tak sangka Ly dan Baiduri berkenan dan mahu saya menyanyikan lagu ciptaan mereka. Memang ini tawaran yang cukup menyejutkan dan sukar dipercayai,” katanya.

Katanya, lagu berentak balada itu masih dalam proses rakaman dan dijangka akan siap sepenuhnya bulan depan. Aman akui masih menyintai dunia lakonan dan menganggap percubaan dalam bidang muzik adalah rezeki terpijak yang tidak harus diping­girkan.

Apatah lagi sebagai orang seni, tidak salah baginya mencuba serta mencari kelainan. Selain bergelar pelakon, jejaka berasal dari Johor Bahru itu turut berjinak-jinak dalam dunia pengacaraan.

Bagi Amar atau nama sebenar, Amar Asyraf Zailuddin pula, dia mencari kelainan dengan mencuba bidang perniagaan.

Ia bermula apabila menjalankan bisnes kecil-kecilan dengan membuka gerai di tapak festival dan bazar selebriti.

“Sejak bergelar bapa, saya perlu cari peluang buat duit demi keluarga. Kalau ikutkan saya tidak suka berniaga tapi saya perlu sekurang-kurangnya RM200 seminggu sejak ada anak.

“Perbelanjaan itu termasuk lampin pakai buang, susu dan banyak lagi. Jadi saya tidak boleh mengharapkan dari tawaran berlakon sahaja,” katanya.

Amar yang bermula sebagai pelakon teater bakal kembali ke pentas teater dengan mengarah dan menerbitkan teater Komplikasi Ronggeng Volume 2 hasil kerjasama dengan Unitar (Universiti Tun Abdul Razak) dan Rona Sutra.

Kali terakhir beraksi di pentas teater sebagai pelakon teater sekitar dua tahun lalu dan tahun lalu hanya mampu mengarah teater Sitora yang dipentaskan di Panggung Eksperimen Universiti Malaya.

Kata Amar, rindunya pada teater tidak pernah padam dan kali ini apabila dapat peluang itu, dia tidak lepaskan.

“Di pentas teater saya dapat ekspresikan diri saya sepenuhnya berbanding berlakon di TV. Ia sebagai cara untuk saya segarkan semula otak sebab kadangkala watak yang saya lakonkan dalam drama TV hampir sama sahaja,” katanya.

Mengenai lakonan, Amar bakal digandingkan dengan Nellydia Senrose dalam drama bersiri 26 episod Pergilah Air Mata pada Oktober ini di RTM.

Tentunya gandingan ini cukup dinantikan peminat selepas mereka mula dikenali melalui drama bersiri Setia Hujung Nyawa di TV3 pada 2012. Drama itu berjaya mempopularkan nama mereka hingga dikenali kini.

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");