Sukan Hari Ini

Impian Boon Heong terjejas

Kuala Lumpur: Impian Tan Boon Heong untuk mara ke perlawanan akhir acara beregu lelaki buat kali ketiga berturut-turut di pentas Sukan Asia sedikit terjejas selepas mengalami kecederaan paha.

Boon Heong yang pernah memenangi pingat emas Sukan Asia 2006 Doha bersama Koo Kien Keat mengaku dia ditimpa kecederaan itu ketika mempersiapkan diri untuk temasya di Incheon yang membuka tirai hari ini.

Menurut pemain kelahiran Alor Setar itu, dia mula merasai kecederaan itu ketika menjalani ujian di kem latihan pusat Sukan Asia 2014 Incheon.

“Persiapan saya semuanya berjalan lancar cuma sebelum ini saya ada mengalami kecederaan selepas melakukan pemeriksaan kesihatan,” katanya yang meraih perak di Sukan Asia 2010 Guangzhou.

Jelasnya, hingga malam kelmarin sebelum bertolak ke Incheon dia masih berasa sakit di bahagian paha namun menjangkakan kecederaan itu sempat sembuh sebelum me mulakan kempen untuk skuad kebangsaan.

“Saya tidak banyak memikirkan mengenai sasaran untuk Sukan Asia kali ini, tetapi saya akan cuba memberikan yang terbaik.

“Sudah lama saya tidak beraksi di perlawanan akhir mana-mana kejohanan dan fokus saya bukan ke arah itu, saya mahu cuba peringkat demi peringkat dalam acara beregu lelaki,” kata pemain berusia 27 tahun itu.

Ditanya mengenai gandingannya bersama Hoon Thien How, Boon Heong berkata, sekarang persefahaman mereka semakin mantap namun ia hanya diuji dalam latihan saja.

“Banyak kejohanan yang kami tidak sertai sebelum ini, tetapi saya sudah bersedia jika kecederaan saya ini tidak memberi sebarang masalah di atas gelanggang.

“Saya juga bersedia untuk turun dengan mana-mana pemain jika itu yang diarahkan jurulatih Pang Cheh Chang untuk acara berpasukan,” katanya.

Kali terakhir Boon Heong bergandingan bersama Thien How adalah di Siri Super Terbuka Australia 2014 Jun lalu dan mereka berjaya mara hingga ke separuh akhir sebelum tumpas kepada Lee Yong Dae-Yo Yeon Seong 14-21, 16-21.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");