Jenayah

‘Kami mahu pulang’

“Kami merayu supaya kerajaan dapat membawa pulang semua penuntut di Yaman dengan segera kerana keadaan di sini tidak selamat lagi, malah kebanyakan kediaman kami sudah musnah terkena bom,” kata Setiausaha Agung Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA) Md Irham Nori Abidin, 28.

Menurutnya, mereka kini terpaksa berlindung di kediaman sementara yang disewa khas Kedutaan Malaysia di Muassasah Darul Quran Kareem Malaysia Yaman di Sana’a menempatkan 440 orang iaitu 357 lelaki, 45 wanita dan 33 kanak-kanak.

“Buat masa ini kami semua selamat di sini, namun perasaan bimbang masih menyelubungi kami berikutan keadaan yang bergolak selepas berlakunya tunjuk perasaan dan pertempuran kumpulan pemberontak Houthis dengan kerajaan.

“Malah, pengajian kami juga tertangguh apabila semua universiti di Yaman sudah ditutup,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Md Irham yang juga penuntut Universiti Al-Iman berkata, buat masa ini makanan mencukupi hasil sumbangan orang ramai yang menyumbang wang ke dalam akaun bank PERMAYA.

“Kami hanya menjamah roti pada waktu pagi manakala tengah hari makan nasi disusuli sebelah malam biskut menjadi pengalas perut berikutan bahan makanan melambung tinggi.

“Sehubungan itu, saya merayu kerajaan dapat segera membawa kami pulang,” katanya yang mengambil jurusan Pengajian Islam tahun akhir.

Menurutnya, seorang penuntut Malaysia dalam pengajian Bahasa Arab, Toriq Rahim, 20, kini sedang menerima rawatan di Hospital As Sauroh kerana tergelincir dan terjatuh dari tingkat tiga kediaman asramanya ketika tergesa-gesa mahu mengambil dokumen peribadi.

“Toriq dilaporkan ingin mengambil barangan peribadi termasuk pasportnya, namun asrama terbabit berkunci menyebabkan dia cuba memanjat, namun gagal masuk sebelum terjatuh dan mengalami kecederaan di badan serta muka.

“Bagaimanapun, keadaan Toriq dilaporkan stabil dan masih dirawat di hospital, keluarganya tidak perlu bimbang,” katanya.

Sementara itu, penuntut jurusan Syariah tahun pertama Mohammad Ezan Faliq, 24, berkata, walaupun mereka selamat tinggal di kediaman sementara itu, namun masih bimbang dengan keselamatan diri.

Menurutnya, dia juga merayu jika kerajaan sudi membawa mereka pulang ke Malaysia berikutan keadaan yang semakin meruncing di sini.

“Kami terpaksa menanggung perbelanjaan harian yang meningkat sekali ganda berikutan pergolakan yang berlaku dan terpaksa mengalas perut dengan makanan yang ringan,” katanya.

Setiausaha Akhbar Wisma Putra Datin Nirvana Jalil Ghani ketika dihubungi berkata, setakat ini keadaan rakyat Malaysia di Yaman berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan di kediaman sementara yang disediakan pihak kedutaan.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Yaman menerusi talian 0096 7142 9781 dan 0096 7142 9782 atau e-mel kepada [email protected].

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");