Sukan Hari Ini

Kempunan emas

Incheon: Hasrat Shalin Zulkifli untuk menyamai rekod Datuk Nicol David dengan lima pingat emas Sukan Asia tertangguh seketika apabila dia dan pasangannya Sin Li Jane sekadar meraih pingat perak dalam acara beregu wanita, semalam.

Shalin, yang tampil kali pertama di Sukan Asia Hiroshima 20 tahun lalu ketika berusia 16 tahun, berada pada kedudukan terbaik meraih pingat apabila kedua-duanya mendahului selepas tamat sesi pagi dengan 2,518 jatuhan pin.

Namun, enam jam kemudian mereka terpaksa berputih mata dan berpuas hati dengan perak apabila dipintas gandingan Korea Selatan, Lee Na Young-Son Yun Hee yang mengumpul 2,553 jatuhan pin, 35 pin berbanding pasangan negara itu.

Satu lagi pasangan Korea, Lee Yeong Seung-Jung Da Wun meraih pingat gangsa selepas mengutip 2,462, 56 pin di belakang Shalin-Li Jane.

“Kami sudah bertarung dengan hebat. Kami sedar perlu melakukan catatan yang bagus kerana ramai pemain hebat bermain pada sesi petang, tapi malangnya kami terpaksa berpuas hati dengan perak.

“Tapi kegagalan hari ini menyemarakkan lagi semangat kami untuk terus berjuang dan bertindak lebih baik dalam dua acara selepas ini, trio dan lima sepasukan,” jelas Shalin.

Dua lagi beregu negara gagal bertindak baik. Hee Kar Yen-Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman berakhir di tangga ke-11 dengan 2,351 manakala Esther Cheah-Syaidatul Afifah Badrul Hamidi di tangga ke-17 dengan 2,303 jatuhan pin.

“Sebenarnya saya tidak begitu mempedulikan sangat mengenai catatan markah. Saya lebih menumpukan kepada permainan sendiri dan berharap dapat memenangi pingat dan gembira walaupun ia pingat perak,” ujar Li Jane.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");