Berita Hari Ini

Malaysia, China pertingkat kerjasama dalam penyelidikan getah

SHANGHAI: Malaysia akan meningkatkan usaha kolaborasinya dengan China dalam penyelidikan getah dan teknologi sebagai sebahagian daripada strategi untuk memasarkan lebih banyak produk getah, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Bercakap dalam seminar mengenai produk getah kejuruteraan di Tongji University di sini, beliau berkata China menyaksikan pembangunan infrastruktur yang pesat seperti pembinaan jambatan, lebuh raya, rel dan pelabuhan di mana bahagian-bahagian getah seperti galas getah adalah penting.

“Galas getah Malaysia diperbuat daripada getah asli berkualiti tinggi direka untuk menahan getaran dan mempunyai daya tahan yang tinggi. Malaysia berjaya membekalkan galas getah trek papak terapung pada 1997 untuk Jajaran Lanjutan MRT Tsuen Wan di Hong Kong,” katanya.

China dengan jumlah penduduk yang besar dan pertumbuhan ekonomi yang bertenaga sejak 40 tahun lalu menjadi pasaran utama, bukan sahaja bagi Malaysia tetapi juga seluruh dunia.

Begitu juga Malaysia yang berkembang menjadi pengeksport sarung tangan getah, kondom dan kateter getah terbesar dunia.

Jumlah dagangan produk getah antara kedua-dua negara juga menyaksikan progres memberangsangkan.

China yang merupakan pasaran eksport ke-33 terbesar Malaysia bagi produk getah pada 1997 dengan nilai sekadar RM13.7 juta (US$4.9 juta), menjadi pasaran keempat terbesar pada 2013 dengan nilai eksport RM638 juta (US$202.5 juta).

Import produk getah Malaysia dari China juga meningkat daripada RM86.5 juta (US$30.8 juta) pada 1997 kepada RM990 juta (US$314.3 juta) pada 2013.

Uggah turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman mengenai kerjasama teknikal antara Doshin Rubber Products (M) Sdn Bhd dan Intitute of Rail Transit, Tongji University.

MoU itu akan membuka jalan untuk kolaborasi dalam penyelidikan dan pengeluaran pelapik getah untuk landasan terapung yang diguna dalam projek rel di China. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");