Membawang Hari Ini

Pak Chu perturun ilmu

Walaupun tidak sepopular makyung, teater Menora yang seringkali dimainkan di negeri yang bersempadan de­ngan masyarakat Siam tetap mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Justeru, tidak menghairankan apabila teater Menora Dua Saudara yang dipentaskan sempena program Panggung Seni Tradisional di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, baru-baru ini, menerima sambutan menggalakkan daripada peminat.

Menariknya persembahan daripada Kumpulan Menora Sri Timur dari Kelantan ini diterajui penggiat seni keturunan Siam, Eh Chum Cha Dai atau lebih popular dengan panggilan Pak Chu.

Walaupun semakin dimamah usia, aktivis teater tradisional berusia 81 tahun ini tetap gagah berkarya demi memastikan kesinambungan seni Menora tidak pupus ditelan zaman.

Menurut Pak Chu, dia memulakan karier sejak berusia 24 tahun dan awalnya sering diberikan watak peran.

“Naskhah yang dipentaskan ini adalah naskhah asal yang sering dimainkan sejak dahulu. Kalau diikut–kan, Menora mempunyai beratus-ratus kisah tetapi yang popular hanya 12 termasuk Menora Dua Bersaudara.

“Selalunya kisah yang dimainkan berkaitan dengan raja dan istana. Seperti makyung, Menora akan dimulakan dengan sembah guru sebelum beralih kepada cerita sebenar,” katanya dalam loghat Kelantan.

Pak Chu berkata, Menora juga dimulakan dengan konsep gurau senda pada awalnya oleh Pak Sitong bagi mengumpulkan ramai penonton dan apabila mereka sudah ramai, barulah cerita sebenar dimulakan.

“Keaslian persembahan Menora adalah dalam bahasa Siam tapi ia boleh disesuaikan dengan dimainkan dalam bahasa Melayu manakala ayat dalam bahasa Siam yang diucapkan pada pembukaan bukanlah mentera, sebaliknya ayat puitis yang menggambarkan keindahan alam sekitar dan pelbagai lagi,” katanya.

Akur dengan tenaga yang semakin berkurangan, Pak Chu mula menurunkan ilmunya kepada Mohd Radzi Yusop, 35, kakitangan JKKN Kelantan.

Berasal dari Negeri Sembilan, Radzi baru setahun mendalami Menora dan berhasrat mempertahankan kesenian ini daripada pupus.

“Selama ini saya hanya mendengar nama Menora tapi tak tahu apa sebenarnya persembahan ini. Daripada penyelidikan dilakukan, saya dapati Menora asalnya bernama Maknora.

“Saya mengakui awalnya susah menghayati Menora kerana perlu belajar bahasa Siam. Namun lama-kelamaan saya semakin serasi dengan persembahan ini dan bersedia menjadi Pak Sitong.

“Ini kali pertama saya muncul dalam Menora dan perasaan saya sangat teruja. Biarpun saya bukan anak jati Kelantan, saya ingin mencuba dan mempertahankan Menora agar diterima semua golongan masyarakat,” katanya yang sudah lima tahun menetap di Kelantan.

Pengarah Menora Dua Bersaudara, Rohani Awang mengakui Menora mempunyai struktur persembahan seperti makyung, namun mempunyai keunikan tersendiri.

“Saya sendiri pernah terbabit melakonkan watak Inang dalam Menora satu ketika dulu. Ini kali pertama saya arahkan Menora dan sudah pasti saya memberikan hasil terbaik.

“Menora juga terhasil menerusi pertembungan budaya Melayu dan Siam dan diharap ia diterima ramai seperti masyarakat menerima makyung,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");