Jenayah

Peniaga trauma ditikam peragut

PASIR PUTEH – Peniaga perempuan trauma selepas ditikam peragut pada tangan dan paha dalam kejadian di hadapan kedai borong telur di bandar ini petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa, Chong Bi Lai, 59, ditikam dengan objek tajam sebanyak dua kali di tangan dan dua kali di paha oleh seorang lelaki yang tidak dikenalinya.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd Kamal Zainal berkata, mangsa meletakkan kenderaan di hadapan kedai dan keluar untuk membeli telur.

Katanya, ketika mangsa mahu masuk semula ke dalam kereta selepas membeli telur, keretanya dihampiri kereta dipercayai jenis Toyota Vios warna putih.

“Seorang lelaki tiba-tiba keluar dari kereta tersebut dan berjaya menghalang mangsa menutup pintu kereta, suspek terus menikam bahagian atas tangan dan paha mangsa.

“Suspek cuba mengambil beg sandang mangsa yang tersangkut pada bahu kanan mangsa, mangsa cuba melawan walaupun dalam keadaan berlumuran darah namun akhirnya beg itu berjaya dilarikan suspek,” katanya.

Menurutnya, kereta yang dinaiki suspek kemudiannya memecut laju ke arah jalan Jertih, Terengganu.

Mohd Kamal berkata, mangsa kemudian meminta pertolongan orang ramai di kawasan sekitar kedai tersebut dan tidak lama selepas itu, ambulans membawa mangsa ke Hospital Tengku Anis (HTA).

“Suspek yang meragut beg mangsa dicam memiliki susuk tubuh sederhana, kulit hitam manis, muka agak berjerawat dan rambut pendek.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati mangsa mendapat cedera ringan dengan luka kecil pada bahagian tangan dan pada paha kanan,” katanya.

Mangsa yang dirawat di unit kecemasan HTA itu kemudiannya memohon untuk berada di wad kerana masih terkejut dengan kejadian itu.

Dalam kejadian itu, mangsa kehilangan kad pengenalan, lesen memandu, Kad kredit Mastercard dan Visa, wang tunai berjumlah RM100 serta satu telefon bimbit jenis Samsung Galaxy Note 3 warna merah.

Mohd Kamal berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan semasa melakukan kegiatan samun termasuk mengenal pasti identiti pemilik kenderaan yang digunakan oleh suspek untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Bi Lai ketika ditemui di HTA semalam berkata, kecederaan di belakang tapak tangan, pergelangan tangan dan paha kanan tidak serius sebagaimana yang digambarkan dalam media sosial.

Menurutnya, kejadian itu berlaku dalam waktu yang terlalu pantas yang menyebabkan dia gagal untuk meminta pertolongan orang ramai.

“Ini adalah kejadian pertama yang saya alami dan ia paling menakutkan saya.

“Kalau penjahat itu guna pisau pastinya kecederaan lebih parah. Berita laman sosial yang mengatakan tangan saya dikelar, dikerat dan sebagainya adalah tidak betul,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");