Perak Hari Ini

Tanam, Semai Sifat Cinta Kepada Negara

Nilai kecintaan terhadap negara perlu diterapkan dalam setiap diri generasi muda supaya mereka lebih menyayangi negara berdaulat bernama Malaysia, demikian ujar Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, golongan itu perlu dididik supaya menjadi seorang bangsa yang tahu bersyukur.

“0rang tua yakni ibu bapa memainkan peranan penting dalam menggalas tugas tersebut.

“Kepada anak-anak kita khususnya generasi muda ini, perlu kita ingatkan kepada mereka akan pentingnya sebuah negara yang merdeka.

“Tanggungjawab kita sebagai ibu bapa sangat penting untuk kita terapkan nilai-nilai yang mulia khususnya nilai kecintaan terhadap negara ini.

“Kita perlu terapkan dalam jiwa anak-anak kita bahawa nilai sebuah kehidupan dalam negara ini bukan hanya berada dalam lingkungan Semenanjung atau mereka yang tinggal di Sabah Sarawak.

“Ini kerana Malaysia itu sendiri terdiri daripada komponencdasar yang terdiri pelbagai kaum, agama dan bangsa serta kita berdiri sebagai bangsa Malaysia,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Perak 2014 bertempat di Dataran Ipoh, malam tadi.

Zambry berkata, ia merupakan halangan yang terbesar untuk mendidik generasi muda berikutan arus teknologi pada masa ini yang begitu terdedah kepada penyebaran pelbagai fitnah.

“Ini merupakan cabaran sebenarnya dalam kehidupan masa kini apabila bermacam-macam cerita disebarkan dari pelbagai sudut.

“Kita perlu mengajar generasi muda bagaimana negara Malaysia itu sebenarnya kaya dengan budaya, kehidupan masyarakat yang aman dan kemakmuran,” tambahnya.

Beliau menyeru agar semua rakyat Malaysia menjaga keamanan yang telah dikecapi selepas tempoh 51 tahun pembentukan Malaysia yang terdiri daripada Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Kita perlu bersama-sama menjaga pembentukan Malaysia dengan sebaik mungkin kerana sentimen perkauman sengaja dibangkitkan untuk menghancurkan apa yang kita ada hari ini,” ujar Zambry.

Terdahulu, hampir 5,000 rakyat membanjiri Dataran Ipoh bagi memeriahkan sambutan yang turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan berwarna-warni.

Acara sebelum itu dimulai dengan Kayuhan Malam Merdeka merupakan kesinambungan daripada program ‘1,2,3 Ride yang melibatkan jarak kayuhan sejauh kira-kira 15 KM di sekitar bandar raya Ipoh.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");