Jenayah

Wanita tak mengaku salah buang anak

Siti Fatimah diiringi anggota polis dibawa masuk ke dalam Mahkamah Majistret Ayer Keroh, semalam:-

AYER KEROH – Seorang ibu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, semalam, atas pertuduhan membuang anak lelakinya berusia dua tahun di sebuah rumah di Bukit Katil, dalam kejadian Februari lalu.

Tertuduh, Siti Fatimah Maulad Mohamad Zin, 24, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai ibu bapa atau orang yang bertanggungjawab menjaga Mohamad Irfan Abd Hadi, 2, dengan sengaja mendedah atau meninggalkan kanak-kanak itu dengan niat membuangnya di sebuah rumah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumah beralamat Jalan Bayan 14, Taman Bukit Katil, kira-kira 10.30 malam pada 11 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membolehkan dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika bersalah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak meminta mahkamah memberikan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun Siti Fatimah dalam rayuannya memohon supaya wang jaminan dikurangkan dengan alasan bekerja sebagai pembantu di kedai makan ibu bapanya di Johor.

Ida Rahayu kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 1 September lalu, Sinar Harian melaporkan tertuduh dan kekasihnya yang bertindak menanam anak mereka di belakang rumah.

Kanak-kanak berusia dua tahun itu tidak lagi bernafas selepas ditekup mulutnya di rumah teres berkenaan.

Perbuatan kejam yang dirahsiakan selama enam bulan itu bagaimanapun, terbongkar selepas pasangan terbabit ditahan polis berkaitan kes dadah dalam serbuan di Muar, Johor.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");